My Add

Monday 25 February 2013

Bera jauh berubah

 *BANDAR Bera di Pahang semakin membangun di bawah kerajaan Barisan
 Nasional.

Oleh HERMAN HAMID dan ALI MAHMOOD
BERA, AHAD, 24 Febeuari, 2013: Pembangunan kawasan luar bandar sememangnya menjadi keutamaan kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dari merdeka sehingga membolehkan banyak kawasan pedalaman dan terpencil di seluruh negara kini berubah wajah.

Salah satu contoh terbaik bagi menceritakan kejayaan proses transformasi itu ialah Bera, kawasan Parlimen yang diwujudkan selepas proses persempadanan semula pada 2004 dengan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diwujudkan iaitu Kemayan, Triang dan Guai.

Terletak kira-kira 45 kilometer dari bandar Temerloh, bandar Bera lebih dua dekad lalu banyak diwarnai landskap kawasan ladang sawit serta tanah rancangan Felda selain perkampungan Orang Asli.

Pekan kecil di daerah itu pun hanyalah seperti Triang dan Kemayan yang dilihat tidak mempunyai daya tarikan dari segi komersial ketika itu.

Namun, dalam tempoh sedekad ini, Bera yang turut bersempadan dengan Negeri Sembilan sudah berubah wajah menjadi pusat pertumbuhan baru.

Malah, bagi mereka yang lama tidak berkunjung ke Bera akan terkejut melihat pembangunan di Parlimen ini yang cukup rancak sehingga beberapa rangkaian restoran makanan segera antarabangsa turut membuka cawangan mereka di Bera.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ditemui baru-baru ini menjelaskan, perubahan ketara di Parlimen yang diwakilinya sejak 2004 itu membolehkan penduduk menikmati banyak manfaat terutama tidak perlu lagi ke bandar Temerloh untuk berurusan.

"Bandar Bera dengan Triang sendiri hampir bercantum. Malah Hospital Bera juga sedang rancak dibina manakala Ibu Pejabat Polis Daerah juga telah siap digunakan.

"Kita juga ada Kolej Komuniti manakala bangunan pejabat kerajaan juga banyak dinaik taraf dengan kebanyakannya tidak lagi berkongsi seperti suatu masa dahulu. Sebab itu bagi orang luar yang lama tak datang ke sini, ramai yang kagum dengan pembangunan yang berlaku," katanya.

Jelasnya, daripada segi komersial, harga tanah semakin meningkat, peluang perniagaan termasuk kepada penjaja kecil semakin baik dan pekerjaan juga bukan isu bagi generasi muda di sini dengan semuanya dapat merasai limpahan daripada pembangunan yang dibawa BN.

Namun pada sama, Ismail Sabri tidak menafikan ada beberapa perkara yang sedang diusahakan pihaknya bagi terus memberi kesejahteraan kepada penduduk antaranya soal bekalan air.

Katanya, usaha itu telah bermula di tanah rancangan Felda dengan peruntukan RM50 juta sudah diluluskan manakala kawasan lain RM45 juta diluluskan dengan kerja-kerja menaik taraf akan bermula tidak lama lagi.

"Soal kedua ialah perumahan generasi kedua Felda dengan satu projek telah siap di Felda Triang 3 melibatkan 304 unit dan kita sedang usahakan dua lagi projek iaitu di gugusan Mendi dan Purun selain satu dua tempat lagi.

"Cuma pembangkang tetap datang ke Felda membawa isu bukan-bukan dengan fitnah mereka yang tidak relevan sebab isu tempatan telah dan sedang kita atasi," jelasnya.

Tambahnya, sebab itu, keyakinan jentera BN di Bera kekal tinggi apatah lagi pakatan pembangkang sendiri dilihat lemah ketika ini terutama Pas yang tidak mampu menyelesaikan banyak isu pokok termasuk kalimah Allah.

Mengenai DUN Triang yang diwakili DAP, Ismail Sabri berkata, beliau percaya sejak Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan negara sokongan pengundi Cina semakin meningkat berikutan banyak isu diberi perhatian kerajaan yang memberi keadilan sosial kepada semua kaum.

"Sebab itu, saya yakin akan berlaku peralihan undi Cina kepada BN dan jika itu berlaku, saya yakin DUN Triang bukan mustahil menjadi milik kita.

"Bagi pengundi muda, kita yakin sebab hubungan kita dengan mereka tidak pernah berhenti. Kita sentiasa mendampingi dan memberi peluang kepada mereka dan saya lihat pendekatan yang diterapkan di Bera mampu menambat hati mereka walaupun golongan itu dianggap kritikal," ujarnya.

Ditanya mengenai soal kesepakatan dalam UMNO Bahagian Bera, Ismail Sabri dengan tenang berkata, tindakan satu dua individu yang mempunyai cita-cita besar tidak akan sampai ke tahap menjejaskan BN dalam mempertahankan kerusi Bera.

Sementara itu seorang penduduk, Salmiah Abdul Rahman, 28, dari Kampung Sri Buntar di sini berkata, walaupun tinggal dalam daerah pertanian, segala kemudahannya yang ada sama seperti daerah lain di negeri ini.

"Jika BN terus memerintah, saya harap lebih banyak limpahan pembangunan yang boleh dinikmati penduduk di daerah ini," ujarnya.

Seorang lagi penduduk Bera, Abdul Rahim Yusof, 58, berkata, Bera telah mencapai kemajuan yang pantas apabila hampir semua penduduk boleh dikatakan sudah menikmati kemudahan asas yang sepatutnya merangkumi jalan raya, bekalan elektrik dan air.

"Saya lihat kerajaan kita hari ini sentiasa mendekati rakyat. DUN Triang misalnya walaupun dikuasai DAP, penduduknya turut menikmati pelbagai limpahan pembangunan yang dibawa oleh BN," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment