My Add

Tuesday 26 February 2013

Peserta PABM teruja keunikan inap desa Parit Penghulu

JASIN, ISNIN, 25 Februari, 2013: Keunikan konsep agrotourism yang ditawarkan di Kampung Parit Penghulu, Sungai Rambai di sini menjadi tarikan utama peserta Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2013.

Rata-rata mereka begitu teruja apabila dibawa melawat sawah padi selain berpeluang melihat kebun getah dan kelapa sawit yang diusahakan penduduk kampung tersebut.

Seorang peserta, Courtney Saville, 26, dari Australia berkata, biarpun pernah melawat Malaysia sebelum ini, namun pada lawatan kali ini beliau berpeluang merasai sendiri suasana kampung dan melakukan aktiviti pertanian.

"Rasa sangat teruja kerana sebelum ini saya hanya pernah melihat sawah padi dari jauh dan menerusi program ini, saya dapat melihat pemandangan sawah padi yang menghijau di depan mata.

"Ia pengalaman yang sangat bermakna sepanjang mengikuti program ini kerana saya juga dapat melihat aktiviti menoreh pokok getah dan proses susu getah dihasilkan serta mengetahui tentang pelbagai kegunaan buah kelapa sawit," katanya ketika ditemui hari ini.

Bagi Soulikhone Simmavong, 37, dari Laos, dia berasa gembira kerana dapat melihat budaya tradisional masyarakat kampung.

Beliau yang masih menuntut di Universitas Negeri Malang Jawa Timur, Indonesia, berkata, peluang menyertai program inap desa itu membolehkannya mengenali sosiobudaya masyarakat Melayu dengan lebih dekat.

"Ini merupakan pertama kali saya datang ke Malaysia dan seronok melihat kehidupan masyarakat desa yang harmoni," katanya.

Sementara itu, Sidang Kampung Parit Penghulu, Mohd. Samin Yatim berkata, kampung tersebut mula menjadi tumpuan sejak memperkenalkan agropelancongan pada 2006.

"Kelebihan yang ada pada kawasan inap desa di kampung ini kerana berdekatan dengan kawasan pertanian, penternakan dan kraf tangan di sekitar Sungai Rambai yang menjadi identiti kepada agrotourism di sini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment