My Add

Sunday, 17 February 2013

PM serah kunci rumah PPSK

PEKAN, SABTU, 16 Februari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyempurnakan upacara penyerahan kunci kepada 160 penerima perumahan Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Sri Makmur, di sini.

Biarpun hujan, majlis itu tetap berlangsung meriah dan dihadiri kira-kira 15,000 orang yang kebanyakannya peserta Felcra dari negeri ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Ibrahim Muhamad, Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Juzilman Basir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Khairuddin Mahmud.

Perumahan PPSK itu merupakan bukti janji ditepati kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dalam membela nasib rakyat termasuk peserta Felcra.

Selain penyerahan kunci, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut menyampaikan replika cek RM10,000 sebagai sumbangan kepada Masjid Al-Fatah Sri Makmur.

Turut disampaikan simbolik penyerahan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 kepada ketua isi rumah dan individu bujang perkampungan Felcra Sri Makmur.

Sementara itu, Najib dalam ucapannya berkata, perumahan peserta Felcra itu membuktikan usaha kerajaan melaksanakan proses urbanisasi kawasan luar bandar di negara ini.

"Saya masih ingat idea ayahanda saya Allahyarham Tun Abdul Razak untuk proses urbanisasi ini dan hasratnya kini menjadi kenyataan. Inilah ciri-ciri bandar moden yang dapat kita kecapi," katanya.

Najib berkata, peserta Felcra seharusnya bersyukur menerima rumah itu yang kosnya hanya RM50,000 sebuah tetapi peserta hanya perlu membayar satu per tiga sahaja kosnya manakala selebihnya ditanggung oleh Felcra.

"Jika dibangunkan oleh pihak swasta, harga rumah ini tidak kurang RM150,000 dan selepas mengira keuntungan boleh mencecah RM180,000," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment