My Add

Saturday 2 February 2013

Projek RM2.4 bilion di Bangladesh

KUALA LUMPUR, JUMAAT,  01 Februari, 2013: Satu syarikat tujuan khas (SPV) yang terdiri daripada dua syarikat Malaysia akan dibentuk untuk melaksanakan satu projek pembangunan bernilai RM2.4 bilion di Bangladesh.

Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S Samy Vellu berkata, SPV itu akan menandatangani dua memorandum perjanjian, iaitu satu dengan kerajaan Bangladesh dan satu lagi dengan syarikat-syarikat berkaitan di negara itu.

Projek pembangunan itu akan menyaksikan pembinaan 140 blok rumah 16 tingkat di Uttara, satu kawasan luar bandar di utara Dhaka, ibu negara Bangladesh.

"Kami akan menandatangani memorandum perjanjian itu dengan kedua-dua syarikat yang telah dikenal pasti itu," kata Samy Vellu kepada Bernama.

Beliau juga menyatakan perbincangan pusingan akhir projek jambatan serba guna bernilai RM6.6 bilion sedang berlangsung di Bangladesh.

"Kami menjangka mendapat berita yang baik tidak lama lagi," kata Samy Vellu.

Beliau juga bekas Menteri Kerja raya.

Mengenai India, katanya, Malaysia kini sedang dalam peringkat akhir mengemukakan pelan lakaran membangunkan tanah seluas 40 hektar di Andra Pradesh untuk dibangunkan menjadi satu bandar.

Jika cadangan itu diluluskan, Samy Vellu berkata, projek yang bernilai RM3 bilion itu, akan menjadi satu mercu tanda bagi kontraktor Malaysia.

"Saya telah bercakap dengan Menteri Perumahan dan Pembasmian Kemiskinan Bandar India. Beliau sangat berminat dengan pelan kita dan saya berharap ia akan diluluskan."

Sementara itu, Samy Vellu berkata, kontraktor Malaysia juga dijangka memperoleh projek pembinaan jalan raya sejauh 1,400 kilometer di Sudan Selatan.

Katanya, projek itu akan menghubungkan ibu negara itu, Juba, dengan Ethiopia dan Djibouti.

"Saya telah menerima kelulusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melawat Sudan Selatan. Maklumat lanjut akan diumumkan sebaik kertas projek itu dimuktamadkan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment