Indeks globalisasi meningkat
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 01 Februari, 2013: Malaysia diunjurkan memperbaiki kedudukannya dalam Indeks Globalisasi tahunan kepada tempat ke-20 tahun ini daripada ke-26 sebelumnya dengan tumpuan kepada tiga faktor utama, pemikiran strategik, pelaksanaan dan pembelajaran.
Pemimpin Pasaran bagi Ernst & Young, Azwan Baharuddin berkata, sehubungan itu, syarikat Malaysia memerlukan pemikiran strategik yang boleh memanfaatkan peluang-peluang global dan serantau.
"Ini khususnya dalam pasaran yang mungkin tidak pernah dipertimbangkan sebelumnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas laporan 'Globalisasi 2013 Ernst and Young, "Looking Beyond the Obvious: Globalisation and New Opportunities for Growth' di sini hari ini.
Azwan berkata, bidang-bidang industri yang akan menjadi tumpuan utama termasuklah minyak dan gas, pendidikan, pelancongan, penjagaan kesihatan dan pertanian.
"Sebagai salah satu ekonomi yang paling pantas berkembang di Asia, Malaysia menunjukkan prestasi yang lebih tinggi sedikit daripada purata global di samping mengekalkan kedudukan ke-26nya.
Beliau juga berkata, keputusan analisis Indeks Globalisasi 2012 menunjukkan bahawa Malaysia sedang bergerak maju dengan teguh, dengan dipacu oleh teknologi dan perdagangan.
"Bagaimanapun, ada beberapa isu yang syarikat Malaysia perlu berikan tumpuan dalam perkembangan masing-masing," katanya.
Misalnya, katanya, mereka perlu mewujudkan strategi khusus bagi pasaran-pasaran yang dipilih, di samping memanfaatkan teknologi yang menawarkan potensi kepada perniagaan untuk berkembang. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment