My Add

Wednesday 20 February 2013

Sindiket edar dadah ke Singapura tumpas

JOHOR BAHRU, RABU, 20 Februari, 213: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah ke Singapura selepas menahan tiga lelaki dan seorang wanita di tiga kawasan di bandar raya ini serta merampas dadah disyaki heroin bernilai RM407,700 daripada mereka, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd Shariff, berkata penahanan pertama terhadap seorang daripada mereka dilakukan kira-kira 4 pagi di Jalan Bakti 1, Taman Mutiara Rini, Skudai di sini dan polis menemui dadah disyaki heroin seberat 60 gram di dalam kereta yang dipandunya.

Katanya, berikutan soal siasat lelaki berumur 25 tahun itu, polis menyerbu sebuah rumah yang didiami sepasang suami isteri berumur 25 dan 28 tahun di Taman Bukit Indah, Nusajaya, dua jam kemudian dan menemui dadah disyaki heroin seberat 6,795 gram di dalam kereta di kawasan rumah berkenaan.

Bercakap kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini, Mohd Mokhtar, berkata siasatan terhadap pemandu lori dan isterinya yang bekerja kilang di Singapura itu membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berumur 23 tahun di Taman Tampoi Indah di sini kira-kira 8.30 pagi hari yang sama, dipercayai turut mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah itu.

Beliau berkata, kesemua dadah itu dipercayai mampu dibekalkan kepada 34,275 penagih dan polis kemudian merampas kereta jenis Subaru Impreza bernombor pendaftaran Singapura, Toyota Camry dan Caldina bernombor pendaftaran tempatan daripada mereka.

Katanya, dua daripada lelaki terbabit positif dadah manakala seorang lagi mempunyai rekod jenayah berkaitan bunuh.

Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata, polis berjaya menyelesaikan 22 kes pecah rumah dan cermin kenderaan di sekitar bandar raya ini selepas menahan lima lelaki dan seorang wanita dalam serbuan di beberapa kawasan di sini, Sabtu lalu.

Beliau berkata, serbuan dilancarkan selepas polis menerima laporan daripada seorang individu pada jam 1.15 tengah hari, hari yang sama, mengenai kehilangan pelbagai barangan selepas rumahnya di Taman Pelangi Indah, di sini dipecah masuk.

"Bertindak atas laporan itu, polis membuat serbuan di sekitar bandar raya ini dan berjaya menemui sejumlah barangan termasuk 30 telefon bimbit pelbagai jenama, tujuh komputer riba, empat televisyen dan sebuah kamera," katanya.

Katanya, kesemua suspek berumur lingkungan 25 hingga 30 tahun itu kini direman bagi membantu siasatan. 

Semakan mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod berkaitan dadah, curi serta dikehendaki polis selepas terbabit dalam jenayah penipuan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment