My Add

Tuesday 26 February 2013

Skim perkhidmatan baru ATM dimuktamad selepas pilihan raya

KUCHING, ISNIN, 25 Februari, 2013:: Skim perkhidmatan baru bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dirumus selepas pilihan raya umum, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Beliau berkata, skim baru itu antara lain akan memberi perhatian kepada rintihan serta keperluan selain menaik taraf kehidupan warga ATM.

"Perdana Menteri sentiasa mendengar permasalahan warga ATM. Dasar yang kita rancang akan memastikan anggota kita ketika perkhidmatan berada pada tahap kesiapsiagaan yang optimum.

"Bukan saja perkara pokok seperti aset dan keperluan logistik yang perlu dipenuhi oleh ketiga-tiga perkhidmatan tetapi yang lebih penting anggota itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis dialog bersama warga ATM kawasan Kuching di Dewan Bukavu, Kem Penrissen, Batu 8, Kuching yang dihadiri 733 pegawai dan anggota lain-lain pangkat.

Turut hadir Panglima Markas 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar dan Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral Datuk Redzuan Baharuddin.

Sementara itu, Dr Abdul Latiff berkata, pengenalan dua syarat baru dalam pengambilan pegawai dan anggota akan mempertingkatkan kemahiran dan profesionalisme dalam ATM.
"Sudah sampai masanya ATM dijadikan profesion pilihan utama, kerana warga ATM perlu mengumpul semua kemahiran peperangan berdasarkan doktrin peperangan yang sudah banyak berubah," katanya.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin baru-baru ini, berkata mulai tahun ini ATM akan melaksanakan syarat baru dalam mengambil serta melatih pegawai dan anggota sejajar dengan hasrat negara menjadikan pegawai dan anggota tentera bertaraf dunia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment