Tentera Perancis mara ke kawasan pergunungan
GAO, JUMAAT, 08 Februari, 2013: Tentera Perancis dan Chad, semalam mara ke kawasan pergunungan di timur laut Mali yang dikuasai kumpulan pemberontak, dipercayai lokasi tujuh tebusan Perancis ditahan.
Seorang pegawai tentera Mali, Kapten Alio Taoure berkata, kedua-dua pasukan tentera itu tiba di pekan Aguelhok, kira-kira 160 kilometer ke utara pekan Kidal, lewat semalam.
Katanya, kebanyakan anggota pemberontak telah berundur ke kawasan pergunungan itu sejak hampir sebulan Perancis melancarkan serangan menggunakan pesawat pengebom dan helikopter tempur untuk menawan semula bandar-bandar di utara Mali yang dikuasai militan.
"Tentera Perancis dan Chad telah meninggalkan pekan Kidal dan mereka kini sedang berkawal di Aguelhok sebelum mara ke Tessalit,'' katanya.
Pekan Aguelhok dan Tessalit menjadi sasaran serangan udara tentera Perancis sejak beberapa hari lalu sebagai usaha menghancurkan kubu-kubu pemberontak.
Kedua-dua pekan itu terletak di kawasan pergunungan yang mempunyai banyak gua, dipercayai digunakan oleh pemberontak untuk menahan tujuh tebusan Perancis. - AFP
No comments:
Post a Comment