My Add

Monday 25 February 2013

Ulama Pas hanya luaran sahaja - PM

SEREMBAN, AHAD, 24 Februari, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemimpin Pas hanya ulama pada rupa luarannya sahaja tetapi apa yang keluar daripada mulut mereka tidak mencerminkan ulama sebenar.

Perdana Menteri berkata, jika mahu memartabatkan seseorang ulama itu, hendaklah mereka daripada golongan yang bercakap baik, bersopan dan memberi nasihat, bukannya memaki-hamun, mencerca dan merendahkan martabat orang lain.

"Tidak juga mengaitkan orang seperti haiwan. Itu bukan cakap ulama," kata beliau dalam ucapan pada pelancaran Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Seremban Sentral di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun pemimpin Pas menghina penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tetapi ramai juga yang menerima bantuan itu terdiri daripada orang mereka (Pas).

Dalam majlis pemimpin bersama akar umbi BN negeri selepas itu di Klana Resort, Perdana Menteri menegaskan, transformasi adalah lebih baik daripada reformasi.

"Reformasi mengajar rakyat berdemonstrasi, menghuru-harakan negara tetapi transformasi kerajaan BN membawa kejayaan, beri manfaat kepada rakyat. Kita mengajar rakyat menghormati undang-undang," katanya.

Mengenai 'Arab Spring', beliau berkata, ia belum lagi mampu memberi harapan kepada apa yang diharapkan, sebaliknya hanya menyaksikan negara berkenaan musnah.

"Terbukti dalam sejarah manusia, jika perubahan yang dilakukan secara mengejut dari bawah ke atas secara radikal, kesannya tidak sebaik yang diharapkan. Tetapi kalau perubahan itu berlaku daripada atas ke bawah dan mendasari kehendak rakyat, maka ia memberi manfaat kepada rakyat dan negara," tegas Najib.

Najib juga memberitahu, ketika kerajaan BN melaksanakan program 'Janji Ditepati', pembangkang semakin gelisah.

"Pembangkang mungkir janji dan di Selangor, cuma 15 peratus sahaja daripada janji pilihan raya umum ke-12 yang telah ditunaikan sehingga Menteri Besar Selangor berkata, manifesto bukan janji kepada rakyat.

"Kalau manifesto bukan janji kepada rakyat, apa gunanya kepada rakyat. Apa nilai kertas yang tertulis manifesto pembangkang yang telah dihidangkan kepada rakyat," soal Najib.

Menyentuh taklimat tertutup bersama akar umbi BN Negeri Sembilan ini pula, Najib membuat kesimpulan bahawa BN negeri ini sudah berada pada tahap 100 peratus bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

"Ini bererti arahan yang diberikan oleh parti telah disahut dan dipatuhi oleh semua ahli BN negeri ini. Kuatkan kerja dan kenali setiap kUSANelemahan. Apabila ia kuat, ia akan menjadi asas kepada kemenangan BN. Negeri Sembilan boleh!," kata Najib. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment