My Add

Sunday 24 February 2013

Undi pembangkang bawa kerosakan akidah umat Islam


 *NAJIB Tun Razak bersarapan pagi bersama orang ramai semasa mengunjungi
 Perhentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU, SABTU, 23 Februari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan setiap satu undi yang diberikan kepada pakatan pembangkang hanya akan membawa kepada kerosakan akidah, perpecahan dan penindasan terhadap umat Islam.

Ketika mengingatkan demikian beliau berkata, dengan sikap para pemimpin pakatan pembangkang dan hala tuju parti yang mereka bawa, inilah gambaran masa depan yang bakal wujud jika rakyat memberi kepercayaan kepada pembangkang.

Justeru katanya, rakyat harus yakin bahawa pilihan untuk mereka hanyalah Barisan Nasional (BN) untuk menjamin kedudukan Islam, pembelaan nasib bangsa dan kesejahteraan negara.

"Saya mahu simpulkan bahawa satu undi untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk satu undi membawa kerosakan akidah kepada negara, satu undi untuk Pas pula kepada satu undi perpecahan umat Islam dan satu undi untuk DAP adalah satu undi kepada penindasan terhadap umat Islam seluruhnya,'' tegas beliau.

Najib berkata demikian ketika berucap melancarkan Karnival Janji Ditepati di Dataran Shahbandar di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, jika sesebuah kerajaan mahu meningkatkan syiar Islam dan umatnya membangun, mereka tidak boleh hanya bercakap sahaja tetapi perlu merancang serta berbuat sesuatu untuk melaksanakan apa yang mereka katakan.

"Kita juga tidak lupa lagi, apa amanat yang disampaikan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang belum ditarik balik," katanya.

Najib berkata, hanya undi yang diberikan kepada BN dapat memastikan syiar Islam terus bersinar, akidah dan kesucian Islam dipertahankan manakala negara dapat dikekalkan.

Beliau menarik perhatian, ketika DAP dilihat sering memperlekehkan Islam dan umat Islam, Pas dan PKR pula tidak mampu berbuat apa-apa untuk membela Islam.

"Apabila DAP buat kenyataan menyinggung orang Islam, apa yang Pas dan PKR buat? Mereka melutut kepada pemimpin DAP, sehinggakan Datuk Nik Abdul Aziz (Mursyisdul Am Pas) sambut hari jadi pun di rumah pemimpin DAP.

''Di mana maruah dan prinsip kalau mereka boleh pergi kepada orang yang paling tidak setuju dengan agama Islam.

"Kita kena ingat, bukan politik, kerusi atau undi yang paling tinggi tempatnya tetapi agama Islam, jadi, jawablah adakah Anwar Ibrahim atau Abdul Hadi boleh jadi Perdana Menteri," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment