My Add

Thursday 28 March 2013

17 ahli 'Morning Glory' diburu

Oleh NORAZRIN MARZUKI
KUALA LUMPUR, RABU, 27 Mac, 2013: Polis memburu 17 suspek yang terlibat dalam kes menembak mati seorang lelaki yang juga rakan penjenayah mereka di Jalan Ampang pada 21 Mac lalu, dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan pembahagian hasil samun.

Lelaki berusia 31 tahun itu yang juga ahli kumpulan samun dikenali sebagai 'Morning Glory' ditembak sebanyak enam das di kepala, dada dan leher di kawasan meletak kenderaan di sebuah hotel.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, siasatan mendapati kesemua suspek berusia antara 30 dan 40 tahun itu disyaki anggota kumpulan sama yang bergiat aktif melibatkan beberapa kes samun di Brickfields dan Cheras.

"Pihak kami percaya lelaki yang ditembak mati itu adalah salah seorang anggota kumpulan berkenaan dan kami percaya dia ditembak oleh rakan mereka sendiri akibat pertikaian semasa pembahagian hasil rompakan," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Mengulas mengenai kes samun oleh kumpulan terbabit, beliau berkata, modus operandi mereka adalah dengan memakai topeng muka dan sarung tangan serta menyasarkan rumah-rumah mewah.

"Mereka terbahagi kepada lima kumpulan kecil dan kebiasaannya melakukan jenayah pada pukul 4 hingga 11 pagi dengan menaiki kereta mewah.

"Mangsa juga diikat sebelum barangan berharga mereka disamun dan kereta milik mangsa juga dilarikan," katanya lagi.

Tambah beliau, sebaik sahaja melakukan samun, kumpulan itu akan menginap di beberapa buah hotel mewah di ibu negara bagi mengelak kegiatan mereka dihidu oleh pihak polis.

Menurut Chin Wah, jumlah hasil samun yang telah dilakukan oleh kumpulan tersebut sehingga kini mencecah RM1 juta melibatkan 18 kes.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat dan butiran berkaitan kes berkenaan supaya tampil menghubungi pihak polis. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment