My Add

Thursday 28 March 2013

BN Kapar yakin menang semua kerusi termasuk DUN Sungai Pinang

KLANG, RABU, 27 Mac, 2013:: Barisan Nasional (BN) Kapar yakin akan memenangi kesemua kerusi dewan undangan negeri (DUN) dan parlimen di kawasan itu termasuk DUN Sungai Pinang yang menjadi kerusi tradisi DAP.

Pengerusi BN Kapar, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, respons positif diterima daripada pengundi di kawasan itu yang melihat sendiri, walaupun BN tewas di kawasan parlimen dan tiga kerusi DUN di situ, bantuan daripada kerajaan persekutuan tetap diteruskan.

"Mood pengundi sangat memberangsangkan dan memberikan kami keyakinan untuk menebus kembali kekalahan dan memenangi semua kerusi di kawasan parlimen Kapar pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13)," katanya kepada pemberita di sini selepas melancarkan jentera BN Kapar malam tadi.

Pada PRU 2008 BN tewas merebut kerusi parlimen Kapar kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta kalah di tiga kerusi DUN iaitu Meru (kalah kepada PAS), Sungai Pinang (kalah kepada DAP) dan Selat Klang (kalah kepada PAS). BN menang tanpa bertanding di Dun Sementa.

Beliau berkata BN terus menyalurkan bantuan walaupun tewas di kawasan berkenaan termasuk bantuan bencana banjir yang diberikan melalui Majlis Keselamatan Negara, elaun sara hidup nelayan kepada lebih 2,000 penerima, subsidi nelayan, baik pulih jeti, bantuan pertanian dan hadiah pelajar cemerlang.

Katanya, penduduk tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik turut menikmati bantuan seperti bantuan awal persekolahan, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan BR1M untuk orang bujang.

Penyelaras DUN Sungai Pinang, Datuk Song Kee Chai berkata respons daripada pengundi Cina juga amat menyenangkan selepas mereka sendiri melihat kerajaan persekutuan terus menyalurkan bantuan berbanding kerajaan pembangkang yang memerintah.
"Lebih 1,100 nelayan kaum Cina menikmati bantuan kira-kira RM6 juta melalui elaun sara hidup yang diterima serta lain-lain bantuan," katanya.

Beliau berkata, gabungan serta kerjasama yang lebih erat antara tiga parti komponen BN - UMNO, MCA dan MIC - akan memberikan kemenangan pada PRU13. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment