My Add

Friday 29 March 2013

Eurofighter Typhoon janji pertumbuhan jangka panjang

Oleh SOFIAN BAHAROM
LANGKAWI, KHAMIS, 28 Mac, 2013: Penyertaan Eurofighter Typhoon dalam inventori aset pertahanan negara bukan sahaja mampu meningkatkan keupayaan tempur Angkatan Tentera Malaysia (ATM) malah menjanjikan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Pengarah Urusan Tempur Udara BAE Systems, Mark Kane berkata, pemilikan itu mampu membuka peluang perniagaan kepada lebih 400 syarikat pertahanan dan aeroangkasa termasuk pembekal kepada industri itu.

Menurut beliau, kombinasi kepakaran yang dimiliki industri Malaysia dan rantaian bekalan oleh Typhoon turut membantu mewujudkan keupayaan industri baharu di samping meningkatkan pekerjaan berkualiti tinggi.

"Kami yakin kemampuan Eurofighter Typhoon menepati keperluan dan jangkaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Pesawat ini sudah membuktikan kemampuannya melaksanakan operasi dalam pelbagai keadaan.

"Selain itu, kami sedang memperkasakan program yang akan memperkemaskan lagi keupayaan dalam pertempuran udara dan darat," katanya dalam kenyataan akhbar di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan BAE Systems Rantau Asia Tenggara, John Brosnan berkata, pihaknya yakin penawaran pakej industri oleh BAE Systems dalam pembelian pesawat tempur tersebut mampu meningkatkan perkongsian pintar antara Malaysia dan syarikat berkenaan.

Katanya, Malaysia bakal menjadi negara pertama di Asia yang memiliki Eurofighter Typhoon jika kerajaan negara itu mengambil keputusan memiliki pesawat tempur pelbagai guna (MRCA).

Jelasnya, pemilihan itu jika berpihak kepada syarikatnya akan memberi kelebihan besar terutamanya dalam aspek aset ketenteraan dan pertahanan.

"Kami masih menunggu pengumuman ataupun kenyataan daripada kerajaan Malaysia, namun setakat ini, TUDM masih tidak memaklumkan secara spesifik berhubung keperluan spesifikasi yang dikehendaki.

"Walau bagaimanapun, kami masih berharap dapat menjalin kerjasama dengan Malaysia sekali gus mampu bertukar kepakaran," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment