My Add

Friday 29 March 2013

RM200 juta untuk operasi Esszone

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
LANGKAWI, KHAMIS, 28 Mac, 2013: Kerajaan meluluskan peruntukan permulaan sebanyak RM200 juta bagi menyokong pelaksanaan Zon Selamat Sabah Timur (Esszone) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri. Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan itu bagi mengukuhkan pembelian aset dan pembangunan infrastruktur yang akan diperoleh serta dibina secepat mungkin.

Katanya, kerajaan tidak hanya akan membeli aset tetapi membina kemudahan bagi mengukuhkan operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Esszone.

"Kerajaan dijangka menambah peruntukan berdasarkan keperluan pasukan keselamatan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak, memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) antara kerajaan dengan beberapa syarikat dalam industri pertahanan di sini hari ini.

Majlis yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) itu sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment