My Add

Friday 1 March 2013

Kakitangan Kuin kemuka tujuh tuntutan

 *MOHD. Farid Alias berucap pada Forum Pentas Bersih Kolej Universiti Insaniah (Kuin), di Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/KAMAL BASIR

ALOR SETAR, KHAMIS, 28 Feruari, 2013: Forum Pentas Bersih Kolej Universiti Insaniah (Kuin) Ops Gempur Jazan 1.0 anjuran kakitangan kolej itu di Jalan Suka Menanti, di sini hari ini mengemukakan tujuh tuntutan termasuk mahu Rektor, Prof. Datuk Dr. Jamil Osman dan Pengerusi Kuin, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dipecat.

Tuntutan lain ialah Insaniah Holding dan anak syarikat lain ditutup, menerima pakai pekeliling perkhidmatan awam dengan membayar tunggakan kenaikan gaji 13 peratus kepada kakitangan dan memberhentikan kakitangan akademik luar negara yang bermasalah.

Tiga lagi tuntutan ialah Kuin perlu membayar tunggakan pinjaman kakitangan ke bank dan pihak ketiga, menutup program yang tiada pelajar dan mengembalikan pentadbiran kuliah ditadbir Insaniah Holding kepada Kuin.

Forum selama sejam bermula pukul 3.30 petang itu dihadiri kira-kira 200 orang termasuk kakitangan Kuin dan ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri.

Rata-rata mereka memakai pakaian berwarna putih bagi melambangkan semangat dan harapan membersihkan Kuin daripada penyelewengan yang didakwa dilakukan Jamil dan Azizan selain membawa sepanduk dan melaungkan kata-kata meminta kedua-dua pemimpin itu disingkirkan segera.

Ahli panel forum itu, Mohd. Baihaqi Hassan yang juga Penolong Pendaftar Kanan Kuliah Usuluddin Kuin mendedahkan, kediaman pelajar di kampus tetap Kuin di Kuala Ketil masih belum disiapkan sepenuhnya hingga menyukarkan para pelajar.

"Pelajar Kuliah Muamalat yang sebelum ini tinggal di kawasan Star Gate, Alor Setar dipaksa berpindah ke kampus tetap di Kuala Ketil, namun penginapan mereka masih belum disiapkan.

"Pihak pengurusan terpaksa memberi mereka cuti sehingga Mac ini sementara menunggu kediaman pasang siap, namun saya berpendapat kediaman itu gagal disiapkan mengikut waktu dan sampai bila pihak pengurusan perlu memberi cuti kepada pelajar sebab masalah ini," katanya kepada pemberita selepas forum itu.

Ahli panel lain, Mohd. Farid Alias yang juga pensyarah Kuliah Hospitaliti Kuin pula berkata, kuliahnya diletakkan di bawah anak syarikat Kuin iaitu Insaniah Holding yang dikatakan tidak mampu menjana keuntungan untuk institusi tersebut.

"Insaniah Holding tidak ada duit, kita mahu tahu berapa keuntungan yang mereka peroleh, siapa sahaja boleh cakap mengenai untung rugi, tapi buktinya tidak ditunjukkan.

"Kami cabar Insaniah Holding keluarkan penyata kewangan secepat mungkin supaya kita tahu untung rugi mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Takaful Kuin, Ahmad Farizal Asmy yang juga ahli panel forum tersebut berkata, perbincangan mengenai isu kebajikan pekerja Kuin antara Jamil dan Azizan telah lama ditutup kerana tiada sebarang maklum balas sewajarnya daripada mereka. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment