My Add

Friday 1 March 2013

1Malaysia 1Harga mulai hari ini
 
*ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) ditemani Rohani Abdul Karim meninjau barangan
 yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia di Kuching, Sarawak, semalam.
 - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

Oleh ZAAIN ZIN
KUCHING, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Harga pelbagai barangan keperluan di Sabah dan Sarawak akan diseragamkan dengan produk sama di Semenanjung menerusi pelaksanaan program 1Malaysia 1Harga fasa dua, bermula esok.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program tersebut melibatkan 304 produk 1Malaysia, 89 produk COOP 1Malaysia serta 69 produk keluaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Katanya, penyenaraian kesemua produk berkenaan merupakan susulan daripada pelaksanaan program 1Malaysia 1Harga fasa satu yang sebelum ini hanya melibatkan dua barang keperluan, iaitu gula dan tepung gandum.

"Sebenarnya sejak 2009, kita telah pun melaksanakan program penyeragaman harga di Sarawak namun ia hanya membabitkan kawasan bandar dengan kawasan pedalaman. Jika hendak dibandingkan dengan Semenanjung, masih terdapat perbezaan harga kerana kos penghantaran.

"Sekarang, kita bukan hanya menyeragamkan harga antara kawasan bandar dengan pedalaman, malah memastikan harga produk-produk berkenaan adalah sama tidak kira di Semenanjung, Sabah atau Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengumumkan pelaksanaan program 1Malaysia 1Harga serta merasmikan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Medan Hamidah, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Fadillah Yusof serta Menteri Muda Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Mohd. Naroden Majais.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM389 juta untuk melaksanakan program 1Malaysia 1Harga di seluruh negara.

Jumlah tersebut katanya, melibatkan subsidi kos penghantaran produk-produk berkenaan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak serta pembukaan sebanyak 57 buah KRIM lagi di dua negeri ini dalam masa terdekat.

"Selain itu, kita juga telah membelanjakan sebanyak RM110 juta untuk menanggung kos penghantaran bekalan ke kawasan luar bandar di seluruh negeri ini.

"Sekarang sudah tidak ada alasan untuk para peniaga menaikkan harga barang memandangkan semua rantaian penghantaran bekalan, baik dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak mahupun dari kawasan bandar ke kawasan luar bandar ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan," katanya.

Ditanya mengenai tindakan ke atas peniaga tempatan yang enggan menurunkan harga mengikut program 1Malaysia 1Harga, Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak akan teragak-agak menghentikan penghantaran bekalan di samping menyenaraihitam peniaga berkenaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment