My Add

Friday 1 March 2013

Kalimah Allah: Agenda tersirat Anwar?

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin mempunyai agenda tersirat apabila mendedahkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan individu yang menyedia serta menandatangani pendirian pembangkang berhubung isu kalimah Allah

Persoalan itu dilemparkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi terhadap tindakan Anwar tersebut yang disifatkannya sebagai pelik.

Menurutnya, timbul keraguan sama ada tindakan itu disengajakan supaya umat Islam mempercayai yang orang bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah Allah seperti pendirian pakatan itu yang diumumkan pada 8 Januari lalu.

"Apa tujuan sebenarnya? Adakah beliau mahu menegakkan benang basah dengan mengatakan pendirian pembangkang yang jelas bertentangan dengan majlis syura sebenarnya didalangi Hadi selaku 'pakar' agama?

"Saya hairan dengan sikapnya. Seolah-olah beliau mahu menyatakan kenyataan itu datang dari seorang yang cerdik agama dan sesuatu yang perlu disokong. Anwar patut sedar, ini soal agama dan akidah. Bukannya tentang politik semata-mata," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Anwar dalam ceramahnya di Ketereh kelmarin mendakwa, kenyataan berhubung pendirian pakatan pembangkang dalam isu tersebut yang diumumkan pada 8 Januari lalu disediakan sepenuhnya oleh Abdul Hadi tanpa ada sebarang pindaan daripada pihak lain.

Pendirian itu menyatakan Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

Bagaimanapun setelah menerima tekanan banyak pihak termasuk tokoh agama terkemuka, Majlis Syura Ulama Pas memutuskan kalimah Allah adalah khusus untuk agama Islam dan tidak boleh digunakan penganut agama lain.

Mengulas lanjut, Puad berkata, sekiranya pendedahan Anwar itu benar, Abdul Hadi boleh dianggap sebagai tidak bertanggungjawab kerana tidak pernah tampil menarik balik kenyataan disediakannya itu supaya selari dengan pendirian Majlis Syura Ulama.

"Sekarang ini orang ramai termasuk penyokong Pas tertanya-tanya. Pendirian mana yang perlu diikut? Anwar dan Pengerusi DAP, Karpal Singh pula tampak sering menekan Pas menggunakan pendirian yang diumumkan pada 8 Januari.

"Jadi, di mana maruah Pas dan sifat tanggungjawab Hadi terhadap umat Islam? Jika beliau benar bertanggungjawab, sepatutnya Hadi memohon maaf kerana menyediakan kenyataan pendirian pakatan pembangkang itu lalu menyokong keputusan Majlis Syura Ulama Pas seratus-peratus," katanya.

Katanya, sekiranya Hadi tidak memperbetulkan keadaan, akan ada pihak luar termasuk sekutu Pas yang terus mempengaruhi orang ramai kononnya kalimah Allah boleh digunakan orang bukan Islam sesuka hati.

"Buktinya sudah ada, Karpal beberapa kali mendesak agar Majlis Syura Ulama Pas menyemak semula keputusan mereka," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment