My Add

Friday 1 March 2013

Ucapan timbul banyak persoalan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam yang kepulangannya dari persembunyian di luar negara disambut umpama ‘wira’ oleh pakatan pembangkang bagi memburuk-burukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti sudah kehabisan modal kerana terus mengulangi tuduhan tanpa sebarang bukti.

Beliau gagal mengemukakan sebarang bukti berkaitan dakwaan penglibatan Najib dengan kematian wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu sama ada dalam bentuk gambar, audio mahupun video.

Sebaliknya, ‘ceramah’ Balasubramaniam hanya mengulangi ‘skrip’ lama dan menimbulkan lebih banyak persoalan kepada hadirin di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di ibu kota malam semalam, serta para pengguna Twitter yang mengikuti ‘hashtag’ #tanyabala.

Apa yang jelas, penyiasat persendirian yang pernah membuat akuan bersumpah (SD) mendakwa Najib terlibat dalam kes itu, tetapi kemudiannya menarik balik kesemua tuduhan berkenaan dalam SD kedua, mengakui membenci kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak berumur 14 tahun atas alasan `kesempitan hidup'.

Walaupun berucap dan menjawab soalan yang dikemukakan oleh moderator, Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin selama kira-kira 90 minit, Balasubramaniam dilihat hanya melontarkan tohmahan dengan ‘bermodalkan air liur’.

Dengan penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang kurang baik, penyiasat persendirian itu juga dilihat gugup apabila terhenti menyampaikan ucapan dan beberapa kali berkata: “Minta maaf, sudah lama (kes ini) jadi saya lupa".

Sebagai contoh, dia mendakwa pernah mengambil gambar Altantuya sewaktu wanita itu berada di hadapan Bangunan Getah Asli di ibu kota pada sekitar 2006 sewaktu berkhidmat dengan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, namun tidak pula menunjukkan gambar tersebut.

Penyiasat persendirian yang pernah lari ke luar negara selama kira-kira tiga tahun selepas membuat SD kedua, turut mendakwa pernah merakam perbualannya dengan peniaga permaidani, Deepak Jaikishnan berkenaan tawaran Deepak sebanyak RM100,000 bagi menarik balik SD pertama, namun rekod tersebut tidak diperdengarkan kepada hadirin.

Kredibiliti serta kesemua dakwaannya juga boleh dipersoalkan apabila dia dengan bangga menerima bayaran RM100,000 itu dan masih menyimpannya sehingga kini, selain secara terbuka menyokong pakatan pembangkang dan akan turun berkempen bagi pakatan tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment