My Add

Friday 1 March 2013

Karnival Kerjaya BN di Tawau tawar lebih 2,000 peluang kerja

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Lebih 2,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan kepada penduduk Sabah khususnya di Tawau sempena Karnival Kerjaya, BN Youth Job Fair yang akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini.

Pengerusi Sekretariat BN Youth Job Fair, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, sebanyak 63 majikan akan menyertai karnival yang merupakan kali ketiga diadakan tahun ini selepas Kedah dan Terengganu.

Katanya, majikan, agensi kerajaan serta syarikat korporat yang menyertai karnival itu bukan sekadar menawarkan peluang kerja tetapi mengadakan program sampingan seperti klinik resume dan ceramah kerjaya,

Karnival yang akan diadakan di Dewan Masyarakat Tawau itu dijangka dirasmikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pada 2 Mac, pukul 3 petang.

Kata Nazir Hussin, di Sabah, karnival ini adalah yang ketiga selepas berlangsung di Kota Kinabalu pada 2011 dan Sandakan tahun lalu.

“BN Youth Job Fair merupakan inisiatif dan pendekatan baharu politik yang dibawa oleh Pemuda BN Malaysia sejak 2011 dengan matlamat mendepani permasalahan utama golongan muda negara ini iaitu ekonomi dan peluang pekerjaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nazir Hussin yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata, BN Youth Job Fair tidak hanya berteraskan kepada penawaran peluang kerja semata-mata.

“Kita juga mengambil kira kehendak dan cita rasa golongan muda dalam membina masa hadapan yang lebih berjaya meliputi pelbagai peluang perniagaan, francais, pinjaman perniagaan, latihan kemahiran dan peluang perniagaan dalam industri asas tani," katanya.

Beliau memberitahu, karnival ini lebih kepada menjadi ejen kepada segala usaha dan inisiatif kerajaan BN melalui agensi-agensi yang menawarkan pelbagai peluang.

Peluang tersebut termasuk Dana Usahawan Muda (YEF) sebanyak RM50 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini kepada golongan muda berumur 18 hingga 30 tahun dan tawaran lain dalam Bajet 2013 seperti Latihan Penambahbaikan Kemahiran.

Karnival kali ini juga menampilkan program penerangan melibatkan agensi seperti SME Corp berkenaan Dana Usahawan Muda serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi melahirkan golongan muda menceburi usahawan tani dan penternakan.

Beliau berkata, dengan pelbagai kemudahan dan latihan yang disediakan, ia secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan mereka untuk menjadi seorang pekerja sahaja.

Agensi kerajaan dan syarikat korporat yang akan mengambil bahagian termasuklah Mara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tabung Ekonomi Usahawan Nasional (TEKUN), SME Corp, PUNB, Skim Latihan 1 Malaysia, Petronas, UEM Group, Celcom Axiata Berhad, Ambank, Tan Chong Motor, RedTone dan banyak lagi.

Nazir berharap, golongan muda termasuk graduan yang masih tercari-cari pekerjaan yang sesuai mahupun yang telah bekerja dapat mengunjungi BN Youth Job Fair itu yang dibuka mulai pukul 9 pagi hingga 5 petang.

“Saya berharap pengunjung akan lebih berfikiran terbuka dan berani untuk merubah masa hadapan yang lebih cemerlang melalui peluang perniagaan atau keusahawanan yang banyak diwujudkan oleh Kerajaan Barisan Nasional," katanya.

Karnival ini bukan sekadar memberi peluang kepada pencari kerja tetapi juga peluang kepada golongan pekerja sedia ada mencari pekerjaan baru yang dapat menjamin pulangan yang lebih baik pada masa hadapan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment