My Add

Friday 1 March 2013

Kastam patahkan seludup dadah

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
SEPANG, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan taktik licik penyeludupan dadah yang berselindung di sebalik kotak barang kemas melalui syarikat penghantaran ekspres pada Isnin lalu.

Penolong Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zainul Abidin Taib berkata, modus operandi terbaharu penyeludupan dadah jenis ketamin seberat 6.80 kilogram itu terbongkar dengan penahanan lelaki warga India berumur 33 tahun di sebuah premis di Kuala Lumpur.

Katanya, hasil maklumat syarikat penghantaran barangan tersebut, pihaknya berjaya menemui sebuah bungkusan besar mengandungi 12 kotak barangan kemas yang tersimpan serbuk putih bernilai hampir RM240,000 itu.

"Siasatan awal mendapati barangan tersebut dihantar menggunakan syarikat penghantaran ekspres dari Chennai, India melalui pengangkutan udara ke Singapura dan seterusnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Dari sehari ke sehari taktik sindiket penyeludupan semakin licik dan mereka cuba mengaburi kita dengan menggunakan barang kemas kerana India memang terkenal dengan industri perhiasan itu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Zainul Abidin berkata, kes itu termasuk dalam empat percubaan penyeludupan dadah yang berjaya dipatahkan dalam tempoh lima hari dari 20 hingga 25 Februari lalu di KLIA.

Katanya, sebanyak 16.59 kilogram dadah jenis ketamin dan methamphetamine dengan nilai anggaran hampir RM1.9 juta dirampas dalam semua kes berkenaan.

"Tiga kes lain menggunakan modus operandi menyorokkan dadah di dalam ruang tersembunyi di dalam bagasi. Ketiga-tiga suspek ditahan semasa cuba melepasi kawalan pihak kastam di Balai Ketibaan KLIA," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes pertama melibatkan penahanan lelaki warga India berumur 29 tahun yang membawa dadah jenis ketamin seberat 1.56 kg bernilai hampir RM55,000 dari Chennai.

"Dalam kes kedua pula seorang lelaki Indonesia berumur 29 tahun ditahan kerana cuba menyeludup dadah jenis methamphetamine dari Maldives dengan berat kasar 2.62 kilogram bernilai hampir RM500,000 pada 22 Februari lalu.

"Kes ketiga pula, melibatkan seorang lelaki warga India berusia 35 tahun yang cuba menyeludup dadah jenis sama dengan berat kasar 5.61 kg bernilai hampir RM1.1 juta dari Singapura pada 25 Februari lalu," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan siasatan lanjut terhadap semua kes berkenaan bagi menumpaskan kegiatan penyeludupan dadah ke negara ini.

Beliau menambah, pada tahun ini, sebanyak 13 kes dikesan dan kesemuanya melibatkan warga asing.

"Kesemua suspek direman tujuh hari untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment