My Add

Friday 1 March 2013

Malaysia miliki 14 bilionair

SINGAPURA, KHAMIS, 28 Februari, 2013 Robert Kuok kekal sebagai orang terkaya Malaysia dengan kekayaan bernilai AS$12.5 bilion (RM38.75 bilion), demikian menurut senarai terkini orang terkaya majalah Forbes.

Malaysia juga kini mencatatkan 14 orang terkaya yang mempunyai kekayaan melebihi AS$1 bilion (RM3.1 bilion), melonjak daripada 11 orang yang bergelar bilionair (dalam dolar AS) setahun yang lepas.

Keadaan itu antara lain disumbangkan oleh kenaikan Indeks Komposit Kuala Lumpur yang bergerak naik empat peratus sejak tahun lepas dan dalam tempoh itu, Keluaran Dalam Negara Kasar negara juga mengukuh pada 6.4 peratus.

Dalam proses itu, seramai 23 taikun dalam senarai Forbes itu menyaksikan kekayaan mereka meningkat dengan Robert Kuok masih mendahuluinya untuk lapan tahun berturut-turut.

Pegangannya termasuk dalam perniagaan Shangri-La Hotels, Kerry Properties dan the South China Morning Post, akhbar berbahasa Inggeris terkemuka di Hong Kong.

Tempat kedua ialah Ananda Krishnan yang menyaksikan kekayaannya meningkat daripada AS$9.9 bilion (RM30.69 bilion) pada 2012 kepada AS$11.7 bilion (RM36.27 bilion) tahun ini.

Antara urus niaga terbaharu yang menambahkan kepada kekayaannya ialah penjualan kepentingan dalam syarikat telekomunikasi Maxis dan penyenaraian Astro, yang dijadikan persendirian pada tahun 2010 dan mengumpul AS$1.5 bilion (RM4.65 bilion).

Tan Sri Lim Kok Thay, anak lelaki kepada ahli perniagaan kasino terkenal, mendiang Tan Sri Lim Goh Tong pula mengendalikan Genting Group dengan rangkaian resort dan kasino di Malaysia, Singapura, Hong Kong, Filipina dan United Kingdom dan juga memiliki 43 peratus kepentingan dalam Norwegian Cruise Line.

Beliau berkongsi kekayaan bersihnya yang bernilai AS$6.6 bilion (RM20.46 bilion) itu dengan ibunya, Lee Kim Hua yang berusia 82 tahun dan anggota keluarganya yang lain.

Antara bilionair yang pertama kali memasuki senarai ialah taikun auto Datuk Tan Heng Chew dan keluarganya dari Tan Chong Motor Holdings yang menduduki tempat ke-11 dengan kekayaan bernilai AS$1.2 bilion (RM3.6 bilion).

Datuk Seri Shahril dan Datuk Shahriman Shamsuddin, adik-beradik di belakang Sapura Group, turut memasuki ranking bilionair selepas penggabungan bernilai AS$3.7 bilion (RM11.47 bilion) antara SapuraCrest dan Kencana Petroleum.

Tahun lepas merupakan tahun bertuah untuk taikun perjudian, Tan Sri Chen Lip Keong, yang mengasaskan kumpulan kasino Kemboja, NagaCorp, yang telah mengaut keuntungan daripada hasil perniagaan itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment