My Add

Saturday 16 March 2013

Kerajaan didesak segera tubuh Suruhanjaya Diraja, bentang Kertas Putih

 *DR. Hasan Ali berucap di hadapan orang ramai ketika perhimpunan aman bagi
mengecam pencerobohan Lahad Datu selepas solat Jumaat di Masjid Negara,
 Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA dan NORAZRIN MARZUKI
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 15 Mac, 2013: Kerajaan didesak agar segera menubuhkan Suruhanjaya Diraja sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi mengenal pasti dalang pencerobohan Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Penubuhan suruhanjaya tersebut juga penting bagi mengelakkan insiden pencerobohan itu berterusan dipolitikkan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, langkah mempercepatkan penubuhan Suruhanjaya Diraja itu penting kerana pihak perisikan Filipina mengaitkan insiden tersebut dengan individu-individu tertentu di negara ini.

Pada masa yang sama, beliau juga menggesa kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan mengeluarkan Kertas Putih bagi mendedahkan kejadian sebenar bagaimana insiden pencerobohan di Sabah boleh berlaku dan siapa pihak-pihak yang bertanggungjawab.

"Kita sudah dengar beberapa plot cerita yang mengaitkan individu berkenaan dengan isu ini lebih-lebih lagi selepas tersebarnya beberapa gambar pertemuan sulit mereka.

"Kami tidak mahu isu ini terus dipolitikkan tetapi kedaulatan negara perlu dipertahankan. Justeru, kebenaran berdasarkan fakta harus segera dibuktikan melalui saluran yang betul maka sebab itu (penubuhan) Suruhanjaya Diraja perlu dipercepatkan," katanya kepada pemberita di perkarangan Masjid Negara di sini hari ini.

Terdahulu, Ibrahim bersama Presiden Jalur Tiga, Datuk Dr. Hasan Ali; Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin; Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip mengadakan perhimpunan bagi mengecam pencerobohan Lahad Datu selepas solat Jumaat.

Perhimpunan yang turut disertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) dan Pertubuhan Jaringan Cina itu bertujuan mendesak agar dalang pencerobohan Sabah disiasat dan didedahkan.

Menurut Ibrahim, Suruhanjaya Diraja itu perlu dianggotai oleh wakil-wakil pembangkang, kerajaan, peguam negara dan golongan profesional.

"Selepas siasatan selesai, kerajaan perlu juga mendedahkan Kertas Putih mengenai insiden sebenar pencerobohan," ujarnya.

Desakan sama disuarakan Hasan kerana jelasnya, hanya melalui Suruhanjaya Diraja dan Kertas Putih segala kemusykilan rakyat Malaysia mengenai bagaimana ketua pengganas yang mendakwa Sultan Sulu, Jamalul Kiram III boleh berani mengarahkan pengikutnya menceroboh Sabah dapat diketahui.

"Hal ini perlu segera diberi pencerahan supaya ia tidak lagi menjadi mainan politik pihak-pihak berkepentingan kerana ketika ini apa yang kita lihat, pengorbanan wira-wira yang gugur turut dikritik oleh mereka (pembangkang) kononnya ia sandiwara kerajaan," katanya.

Sementara itu, Zulkifli ketika menyampaikan ceramah mendakwa modus operandi pencerobohan Sabah hampir sama dengan kejadian yang menimpa Indonesia ketika Timor-Timur (sekarang Timor Leste) masih lagi sebahagian daripada wilayah negara berkenaan.

Katanya, dalam kes Timor-Timur, sebuah pertubuhan bukan kerajaan tidak berdaftar di negara ini berperanan aktif membuat desakan terhadap kerajaan Indonesia bagi membebaskan wilayah tersebut dan akhirnya misi itu berjaya.

"Atas sebab itu saya cabar R. Sivarasa dan Tian Chua jawab kepada rakyat apa tujuan mereka pergi ke Filipina," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment