My Add

Thursday 28 March 2013

Kerajaan Pas didesak pulangkan tanah kepada peneroka

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA BHARU, RABU, 27 Mac, 2013: Kerajaan Pas Kelantan terus didesak supaya memulangkan semula tanah kepada peneroka asal di Hulu Kelantan dan menghentikan alasan mengenai kewujudan sindiket menjual tanah di kawasan itu.

Pengerusi Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan Demi Rakyat (Gerakan Tukar), Kamaruddin Kasim berkata, pemimpin terbabit tidak boleh berdiam diri kerana rakyat terutamanya peneroka asal di kawasan itu telah mengalami kerugian besar ekoran banyak tanaman getah yang diusahakan mereka telah disodok untuk dijadikan hasil balak.

"Kerajaan Pas Kelantan tidak boleh ambil balik hati rakyat dengan hanya memberi alasan atau penjelasan tetapi langkah yang perlu adalah pulang balik tanah itu kepada peneroka asal.

"Apa yang berlaku sekarang pemimpin Pas Kelantan mendakwa urusan tanah dibuat ikut Perlembagaan tetapi bagaimana dengan kerugian rakyat kerana mereka sudah mengusahakan tanah itu maka pampasan perlu diberi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob seperti dilaporkan Utusan Malaysia baru-baru ini enggan mengakui kegagalan mereka menguruskan tanah di Hulu Kelantan malah menuduh kebanyakan peneroka yang memohon tanah di kawasan itu tidak menggunakan saluran betul sebaliknya berurusan melalui sindiket.

Dalam masa sama, beliau mendakwa, pelbagai bantahan rakyat terhadap kerajaan Pas Kelantan berhubung isu tanah yang dirampas itu hanyalah sandiwara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Sehubungan itu katanya, kerajaan Pas Kelantan tidak bertanggungjawab terhadap masalah yang dihadapi peneroka asal di kawasan tersebut kerana tidak mempunyai maklumat yang menyatakan tanah berkenaan sudah dimiliki ekoran diuruskan sindiket terbabit.

Sementara itu, Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Azmi Ali berkata, alasan mengenai kewujudan sindiket itu sebenarnya hanyalah langkah kerajaan Pas Kelantan untuk cuba mengalihkan kemarahan rakyat.

Jelas beliau, adalah mustahil sekiranya sesebuah sindiket mampu menjual tanah di negeri ini sehingga puluhan ribu hektar tanpa dikesan oleh pihak berkuasa tempatan.

Azmi turut meminta pemimpin Pas Kelantan tampil dengan bukti dan mendedahkan kepada umum jika benar penjualan tanah itu dilakukan oleh sindiket.

"Jangan cakap pada rakyat kami sudah siasat ada sindiket maka kami tidak bersalah sebab itu namanya mahu mengelak daripada tanggungjawab menjaga amanah rakyat.

"Kerajaan Pas Kelantan dipilih oleh rakyat, justeru itu amanah rakyat perlu dijaga dan tanah rakyat itu adalah amanah yang diberikan rakyat kepada mereka tetapi sudah dirampas," tegas beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment