My Add

Saturday 2 March 2013

Najib: Kerajaan BN laksana pelbagai perkara suburkan syiar Islam

PEKAN, JUMAAT, 01 Mac, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sudah melakukan pelbagai perkara kebajikan dan kewajipan agama dalam menyuburkan syiar Islam di negara ini.

Katanya, pelbagai bantuan dan program untuk rakyat selama ini membuktikan kerajaan BN menjadikan negara ini sebagai negara kebajikan selaras dengan kehendak Islam.

"Kalau orang hendak (namakan), inilah negara kebajikan sebenarnya, walaupun kita tak kata kita sebuah negara kebajikan, (kalau hendak kata) negara islam, inilah (juga) negaranya," katanya ketika berucap selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tanjung Agas dekat sini.

Perdana menteri bersama lebih 3,000 jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid baharu itu yang diimamkan Datuk Ariffin Daud.

Najib berkata, masjid baru di Tanjung Agas itu adalah antara contoh usaha kerajaan BN menyediakan rumah ibadat yang lebih selesa kepada umat Islam di negara ini.

"Masjid baharu Tanjung Agas ini disumbangkan oleh Yayasan Rahah. Ia membolehkan kita bersolat dan beribadat di sini dalam keadaan lebih selesa.

"Inilah yang cuba dilakukan oleh kerajaan dan rakan-rakan saya (dalam kabinet) supaya kita dapat terus melakukan sebaik mungkin sama ada perjuangan kita untuk kepentingan ummah dan umat Islam," katanya. 

Beliau berkata, BN menerusi UMNO akan terus merpertahan kemuliaan Islam daripada diperlekeh oleh mana-mana pihak sekalipun.

"Kita dapat simpulkan bahawa Umno telah berusaha meninggikan syiar Islam -- pendidikan Islam dapat kita lakukan, kebajikan untuk orang, pendidikan Kafa, peluang untuk tunaikan haj, -- kita dapat tentukan negara kita sentiasa aman dan kita dapat lakukan usaha membantu rakyat.

"Saya rasa banyak yang kita berikan sampai saya pun tak terkira. Kalau orang hendak (gelar,) inilah negara kebajikan sebenarnya walaupun kita tidak kata (secara khusus Malaysia) negara kebajikan, (dan jika digelar) negara Islam, inilah negaranya yang kita perjuangkan Islam selama ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment