My Add

Saturday 2 March 2013

Pemimpin celaru hanyutkan perjuangan Pas - Hasan Ali

Oleh AZMAN IBRAHIM (Utusan Online)
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 01 Mac, 2013: Perjuangan Pas akan semakin hanyut kerana parti itu kini dipimpin oleh para pemimpin yang bercelaru sehingga sanggup membelakangkan keputusan Majlis Syura berhubung isu kalimah Allah.

Presiden Jati, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, pemimpin-pemimpin ini bukan sahaja tidak sehaluan dengan majlis berkenaan sebaliknya menyokong keputusan Majlis Presiden Pakatan yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu.

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu berkata, beliau tidak bimbang terhadap permintaan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memujuk Majlis Syura mengubah pendirian berhubung isu itu kerana kedua-dua parti berkenaan bukan bertunjangkan Islam.

“Apa yang saya tidak faham wujudnya aliran pemikiran yang bertentangan dengan Majlis Syura dan mahukan majlis itu membatalkan keputusan yang telah dibuat," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik menerusi blog Anwar AIDC.

Berikut kenyataan penuh Hasan:

"Isu Kalimah Allah nampaknya tidak reda-reda lagi. Kita boleh faham isu ini tidak akan menjadi muktamad disebabkan ianya mempunyai pengertian dan implikasi yang sangat berbeza di antara keputusan Pakatan Rakyat dengan keputusan Majlis Syura Ulama PAS.

Umum mengetahui bahawa Majlis Syura Ulama PAS tanpa ragu-ragu dengan keputusan sebulat suara tidak membenarkan Kalimah Allah diterjemahkan dan diguna oleh masyarakat bukan Islam khususnya di kalangan penganut Kristian dalam Bible berbahasa Melayu.

Sementara Majlis Presiden Pakatan Rakyat melalui kenyataan yang dibacakan oleh Presiden PAS bahawa Pakatan Rakyat membenarkan penggunaan Kalimah Allah setakat yang tidak merujuk kepada pengertian Al-Qurannya.

Anwar Ibrahim dalam ceramah politik di Ketereh baru-baru ini di hadapan ahli dan penyokong PAS meletakkan tanggungjawab membuat rumusan Majlis Presiden Pakatan kepada Ustaz Hadi Awang. Dikatakan Ustaz Hadi Awanglah yang melakarkan kenyataan dan membacakannya dan teks itu jugalah yang dipersetujui oleh semua pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.

Perbezaan di antara keputusan Majlis Presiden Pakatan dengan keputusan Majlis Syura Ulama PAS adalah ketara. Sebab itulah sejak dari awal pimpinan tertinggi DAP dan PKR bersungguh-sungguh meminta Presiden PAS memujuk Majlis Syura supaya menarik balik keputusan yang dibuat dan menerima keputusan Majlis Presiden Pakatan.

Kita tidak bimbang permintaan DAP dan PKR itu kerana asas permohonan mereka mudah difahami. Tetapi yang menjadikan kita lebih tidak faham ialah aliran sedemikian juga wujud di kalangan pimpinan PAS yang dikatakan masih berusaha dan mengharapkan Majlis Syura Ulama membatalkan keputusan yang telah dibuat.

Kenyataan Anwar Ibrahim boleh ditafsirkan sebagai lengguk-lengguk kepada mengharapkan Majlis Syura Ulama PAS mengubah pendirian mereka.

PRU 13 sudah menampakkan wajahnya. Antara isu yang masih belum muktamad bagi PAS yang memperjuangkan Islam ialah isu Kalimah Allah. Walaupun ahli dan penyokong PAS diminta menyokong keputusan Majlis Syura tetapi jelas di kalangan kumpulan parasit cuba memilih mengambil posisi lembut dan akomodatif supaya PAS tidak kehilangan undi pengundi yang bukan Islam.

Berbalik kepada kenyataan Anwar Ibrahim bahawa Ustaz Hadi Awang telah menggunakan ilmu agamanya untuk memberi justifikasi membolehkan penggunaan Kalimah Allah. Pada masa yang sama Ustaz Hadi sebagai pemimpin PAS juga terpaksa melayan kehendak ahli dan penyokong parti serta pimpinan ulama yang tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan imej dan reputasi PAS.

Ustaz Hadi mempunyai tanggungjawab dan amanah yang jauh lebih besar daripada pimpinan yang lain sekiranya diteliti versi Anwar Ibrahim mengenai keputusan Majlis Pakatan Rakyat itu. Ustaz Hadi dalam posisi yang disebut sebagai ditelan mati emak dibuang mati bapa semestinya memaparkan kewibawaan ulamanya bangun memperjelaskan kedudukan sebenarnya mengenai isu ini.

Adakah kenyataan Anwar itu menepati yang berlaku atau Ustaz Hadi ada versinya yang tersendiri yang mesti dimuntahkan demi mempertahankan kredibiliti ulama bagi dirinya dan kewibawaan PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang tidak sekali-kali sanggup menyembunyikan kebenaran.

Jika atas beberapa sebab ini tidak berlaku, PAS bukan sahaja telah mengkhianati amanah umat, di pihak Ustaz Hadi pula beliau bertanggungjawab penuh di sisi Allah kerana lakaran keputusan yang dikatakan dibuat oleh Ustaz Hadi sendiri mempunyai implikasi hukumnya yang tersendiri.

Saya yakin dengan kewibawaan Ustaz Hadi. Dalam soal ini sebelum kita memperolehi sesuatu daripada Ust Hadi saya lebih cenderung untuk membuat ulasan lanjut mengenai isu ini hanya setelah menerima versi daripada Ustaz Hadi sendiri.

Bagi Anwar Ibrahim bermain politik memang profesyen beliau. Soal benar atau salah bukan menjadi soal pertama.

Dalam konteks Kalimah Allah ini persoalannya ialah siapa yang lebih handal dalam sepak terajang gelanggang politik. Di gelanggang politik yang salah boleh jadi betul dan yang betul boleh jadi salah atau seperti yang sering dikatakan dalam politik ukuran salah betul bergantung kepada persepsi yang cuba direkayasakan." - UTUSAN

No comments:

Post a Comment