My Add

Thursday 28 March 2013

Pencapaian semasa PDRM boleh dibanggakan

KUALA LUMPUR, RABU, 27 Mac, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat seharusnya berbangga dengan pencapaian semasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama dalam tugas membabitkan pencegahan jenayah.

Menurut Perdana Menteri, perkara itu memandangkan kadar jenayah di negara ini menurun sebanyak 27 peratus sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Namun, jelasnya, walaupun menampakkan kejayaan masih banyak yang perlu dilakukan PDRM bagi memastikan kadar jenayah terus mencatat penurunan dari semasa ke semasa.

"Untuk itu, PDRM telah melakukan pelbagai transformasi antaranya memperkenalkan perkhidmatan komuniti polis dengan tahap profesionalisme dan integriti yang tinggi. Sudah pasti pelbagai transformasi yang diperkenalkan itu tidak boleh membawa perubahan dalam sekelip mata.

"Ini memerlukan masa serta fokus untuk melakukan penambahbaikan terhadap pasukan polis," katanya seperti dipetik menerusi laman blognya di http://www.1malaysia.com.my hari ini.

Najib berkata, PDRM juga akan sentiasa bekerjasama dengan rakyat untuk mencapai matlamat memastikan Malaysia menjadi negara selamat dan bahagia menerusi pelbagai perubahan serta inisiatif yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Dalam masa sama, Najib turut melahirkan rasa kagum dengan semangat kental yang ditunjukkan warga PDRM selama ini.

"Membesar di rumah bersama ayahanda saya, Allahyarham Tun Abdul Razak, sentiasa membuatkan saya sedar dan menghargai perjuangan mereka dalam mempertahankan keamanan negara. Sejak zaman darurat sehinggalah kepada insiden 13 Mei, mereka sentiasa menjadi benteng keselamatan kepada kita semua," katanya.

Sempena Hari Polis yang disambut Isnin lalu, beliau memberitahu, PDRM sekali lagi menunjukkan semangat juang yang membanggakan terutama mereka yang bertugas dalam Ops Daulat.

Malah, beliau turut melahirkan rasa kagum dengan keberanian lapan anggota serta pegawai PDRM yang sanggup menggadaikan nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara.

"Saya harap, perjuangan mereka ini sentiasa dikenang oleh setiap rakyat," katanya.

Najib menambah, bagi meneruskan perjuangan wira negara yang terkorban itu kerajaan mengumumkan penubuhan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) supaya kestabilan dan keselamatan di Sabah terus dipelihara.

Menerusi inisiatif itu, tambah beliau, kerajaan juga akan memastikan proses pilihan raya yang adil dan bersih tidak digugat di kawasan tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment