My Add

Saturday 2 March 2013

Penceroboh Filipina perlu segera tinggalkan negara ini: Najib

PEKAN, JUMAAT, 01 Mac, 2013: Datuk Seri Najib Razak menegaskan kumpulan penceroboh dari Filipina di Lahad Datu Sabah, perlu segera keluar dari negara ini sebelum kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

Perdana Menteri berkata, lebih lama mereka di situ lebih bahaya daripada segi apa yang boleh terhadap mereka kerana kerajaan tidak akan biarkan ianya berlanjutan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan pusat tansformasi luar bandar (RTC) Pahang di Kuala Pahang, di sini, hari ini. - BH

Penceroboh sepatutnya terima tawaran Malaysia

PEKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina yang berkubu di Kampung Tanduo, Lahad Datu sepatutnya menerima tawaran menyerah diri dan keluar dari kawasan itu secepat mungkin.

"Kita ambil sikap yang berhemah dalam mengendalikan masalah pencerobohan berkumpulan di Lahad Datu kerana kita cuba elak pertumpahan darah dan selesai masalah dengan baik, tetapi mereka yang terlibat harus sedar bahawa apa yang mereka lakukan itu merupakan kesalahan besar dan serius.

"Mereka sepatutnya dapat menerima tawaran kita keluar dari kawasan kita dengan secepat mungkin. Lagi lama mereka kekal di situ mereka akan terdedah dengan bahaya dari segi apa yang boleh berlaku kepada mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Najib mengulas insiden tembakan di kawasan itu hari ini setelah kumpulan penceroboh yang diketuai adik kepada 'Sultan Jamalul Kiram III' Agbimuddin Kiram enggan meninggalkan kawasan itu setelah berkubu di kawasan itu lebih tiga minggu dengan membuat beberapa tuntutan.

Bagaimanapun beliau bertegas bahawa kerajaan memandang serius apa yang sedang berlaku di Lahad Datu itu.

"Kita tidak akan biarkan perkara ini berlanjutan tanpa sesuatu tindakan yang dilakukan pihak pasukan keselamatan, saya beri jaminan, kita pandang serius dan kita akan lakukan apa saja yang perlu dan menjamin kedaulatan negara kita," katanya.

Najib juga memberi jaminan untuk mengambil langkah sewajarnya memperketat keselamatan Sabah.

Beliau juga bersetuju dengan kenyataan Presiden Filipina Benigno Aquino III baru-baru ini bahawa kumpulan penceroboh itu agar jangan menguji kesabaran Malaysia.

"Apa yang dikatakan Presiden Aquino memang tepat dengan pendirian kita. Jangan menguji kesabaran kita, kesabaran kita ada had, kita ada perancangan untuk mengusir mereka keluar, sebaik-baiknya mereka menyerah diri dan keluar dengan baik," katanya.

Perdana menteri terdahulu melancarkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kuala Pahang di sini.- BERNAMA

Penceroboh bersenjata mulakan dulu serangan

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata, kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah terlebih dahulu memulakan serangan terhadap pasukan keselamatan Malaysia apabila mereka mara 1.5 kilometer dari tempat mereka berkampung sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah memberi mandat kepada ketua polis negara dan panglima angkatan tentera untuk mengambil sebarang tindakan terhadap kumpulan penceroboh bersenjata itu dan tiada kompromi lagi.

Najib turut mengesahkan dua anggota keselamatan Malaysia terbunuh dan tiga lagi cedera manakala 10 hingga 12 anggota kumpulan penceroboh itu terbunuh.

"Mereka (polis dan tentera) akan diberi kuasa sepenuhnya untuk bertindak dengan apa saja mengikut budi bicara mereka tetapi kumpulan ini mesti ditumpaskan dan mereka mestilah diambil tindakan yang sepatutnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian tembak-menembak antara pasukan keselamatan negara dengan kumpulan penceroboh yang diketuai adik Sultan Jamalul Kiram III, Agbimuddin Kiram, yang telah berkubu di Felda Sahabat 17 di Tungku, Kampung Tanduo, daerah Lahad Datu sejak 9 Februari lalu.

"Saya tidak lagi buat keputusan. Terserah kepada mereka (panglima ATM dan ketua polis negara) untuk ambil tindakan...mereka akan diberikan kuasa sepenuhnya.

"(Kini) sama ada mereka (penceroboh) menyerah diri atau mereka terima apa jua kesan daripada tindakan mereka," kata Najib.

Perdana Menteri berkata, kumpulan itu kini dikepung sepenuhnya dan pasukan tentera laut negara sudah meningkatkan tahap keselamatan di perairan bagi mengelakkan kumpulan itu melarikan diri.

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan kejadian itu kerana sepatutnya pertumpahan darah mahu dielak daripada berlaku, akibatnya kini negara kehilangan dua anggota keselamatan.

Terdahulu Najib melancarkan jentera pilihan raya kawasan parlimen Pekan di Dewan Konvensyen Pekan yang dihadiri kira-kira 5,000 orang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment