My Add

Saturday 16 March 2013

Pencerobohan di Lahad Datu tidak jejas program transformasi ekonomi

Oleh ROKIAH ABDULLAH
IPOH, JUMAAT, 15 Mac, 2013: Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilaksanakan oleh kerajaan setakat ini berjalan lancar dan tidak terjejas meskipun berlaku insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, ini kerana insiden yang berlaku itu hanya tertumpu dalam satu kawasan dan bersifat terpencil serta tidak melibatkan sektor ekonomi utama negara.

Katanya, perkara itu juga hasil kejayaan pasukan keselamatan negara mengawal keadaan pencerobohan daripada terus merebak ke kawasan lain serta mengancam keselamatan negara secara lebih menyeluruh.

"Pada peringkat ini kita dapati transformasi ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan berjalan begitu lancar. Malah, semasa keadaan tengah memuncak dahulu, saya dapati permintaan daripada penduduk agar bank tidak ditutup supaya tidak menjejaskan urusan perniagaan mereka.

"Saya percaya peniaga-peniaga ini amat berterima kasih kepada anggota keselamatan kerana mampu mengendalikan insiden pencerobohan itu dengan baik sehingga urusan harian mereka tidak terjejas," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan hampir sejam ke bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim; Setiausaha MBI, Datuk Abdul Rahim Ariff serta Ahli Majlis MBI.

Walau bagaimanapun, Ahmad Husni berharap pasukan keselamatan negara mampu memastikan insiden pencerobohan itu tidak merebak dan diselesaikan secepat mungkin.

"Hal ini penting bagi menjamin keselamatan negara dan rakyat secara keseluruhan. Bagi kerajaan, kita telah menyediakan peruntukan untuk membantu keluarga-keluarga yang terlibat dalam insiden itu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment