My Add

Thursday 28 March 2013

Penduduk di Dewan Embara Budi mulai masak makanan kegemaran


*HIYA Majijil (tiga dari kanan) bersama penghuni pusat pemindahan Dewan
 Embara Budi memilih pelbagai jenis ikan yang dijual oleh Salasiah Lamarap 
(kiri) di pusat pemindahan itu di Lahad Datu hari ini. - BERNAMA

LAHAD DATU, RABU, 27 Mac, 2013: Bagi mempelbagaikan lauk pauk dan melepaskan rindu kepada hidangan yang biasa dinikmati di rumah, penduduk kampung yang terjejas ekoran serangan militan Filipina kini mulai memasak masakan kegemaran masing-masing di pusat pemindahan.

Masakan yang memenuhi selera keluarga masing-masing itu disediakan sendiri oleh penduduk yang mendapat bekalan ikan segar.

Mereka juga kelihatan ceria apabila sepasang suami isteri mula memasuki kawasan itu untuk menjual ikan segar sejak beberapa hari lepas.

Pada masa ini terdapat kira-kira 500 penduduk dari pelbagai kampung ditempatkan di Pusat Pemindahan Embara Budi di Felda Sahabat 17 sejak kampung mereka diserang pengganas awal bulan ini.

Salasiah Lamarapo, 40, berkata, beliau dan suami membawa beberapa jenis ikan untuk dijual kepada penduduk di pusat pemindahan itu.

"Selepas keadaan kembali tenang, barulah saya dan suami berani datang ke sini untuk jual ikan," katanya kepada Bernama.

Seorang anggota Rela yang tidak mahu dikenali berkata, jarang peniaga datang ke dewan ini untuk menjual makanan atau keperluan harian kerana takut kepada ancaman pengganas Kiram.

Seorang penduduk, Hiya Majijil, 70, berkata, ikan segar yang dijual dengan harga murah itu sedikit sebanyak mampu mengubah selera mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment