My Add

Thursday 28 March 2013

Muzakarah gesa pilih calon tidak dukung pemikiran bertentangan Islam

PUTRAJAYA, RABU, 27 Mac, 2013: Umat Islam di negara ini digesa memilih calon berwibawa yang tidak mendukung pemikiran bertentangan Islam seperti liberalisme, sekularisme dan pluralisme pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Perkara itu antara resolusi yang dipersetujui pada muzakarah ulama 'Kefarduan Mengundi Calon Berwibawa', anjuran badan bukan kerajaan Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang dianggotai pakar akademik dan siswazah berpendidikan Islam, di sini hari ini.

Muzakarah juga bersetuju menerima kefarduan mengundi calon Islam berwibawa pada pilihan raya umum ini demi memastikan agenda memartabatkan Islam terus kukuh, kata pengerusinya, Dr. Aznan Hasan pada sidang media selepas muzakarah itu.

Antara yang hadir pada muzakarah itu ialah Timbalan Pengerusi Sekretariat Mendaulatkan Islam Agama Negara, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman; Mufti Sabah, Bungsu@Aziz Jaafar; Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim dan Timbalan Mufti Negeri Sembilan, Nor Azamir Alias.

Kata Aznan, jika pertandingan membabitkan dua calon Islam, maka umat Islam wajar memilih calon yang lebih berwibawa.

"Di kawasan majoritinya pengundi Islam pula, maka hendaklah diletakkan calon Islam sementara di kawasan majoriti pengundi bukan Islam, maka pemilihan calon hendaklah berdasarkan kepada parti yang paling kurang mudarat kepada Islam," katanya.

Beliau berkata, calon-calon Islam yang terpilih pula mesti memastikan perdana menteri, timbalan perdana menteri serta menteri-menteri kanan ialah umat Islam yang berwibawa.

"Calon-calon Islam juga perlu bersepakat tanpa mengira latar belakang parti apabila berhadapan dengan kepentingan umat dan agama Islam," katanya.

Mengenai tujuan muzakarah itu, Aznan berkata, Majlis Ulama Isma terpanggil untuk mengadakannya memandangkan situasi sekarang memerlukan umat Islam sedar akan pentingnya kesatuan demi kelangsungan agama Islam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment