My Add

Friday 29 March 2013

Speaker maklum SPR DUN Negeri Sembilan terbubar  


*MOHAMED Roduan Ujang (kiri) menyerahkan surat Perisytiharan Pembubaran Dun Negeri Sembilan ke-12 kepada Afizam Abdullah Sani di Wisma Persekutuan hari ini.

SEREMBAN, KHAMIS, 28 Mac, 2013: Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Razak Mansor telah memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya negeri mengenai pembubaran DUN Negeri Sembilan secara automatik yang berlaku hari ini.

Katanya pemakluman itu dibuat menerusi surat rasmi yang dihantar ke Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya negeri yang menyatakan bahawa penggal DUN telah mencapai tempoh matang semalam dan terbubar hari ini.

"Oleh kerana tidak ada sebarang pengumuman pembubaran oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir maka saya kena menghantar surat kepada SPR memaklumkan bahawa DUN Negeri Sembilan telah pun cukup matang dari segi hayatnya selama lima tahun," katanya pada sidang media selepas menghantar surat tersebut ke pejabat SPR, di sini hari ini.

Pembubaran DUN Negeri Sembilan hari ini adalah berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri di bawah Fasal 56(3) yang menyatakan Dewan Negeri berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertama dan kemudiannya dibubarkan kecuali dibubarkan terlebih dahulu.

Mesyuarat pertama DUN Negeri Sembilan berlangsung pada 27 Mac 2008 dengan agenda utamanya adalah melantik speaker dan upacara mengangkat sumpah anggota DUN.

Razak berkata, dengan pemakluman itu terpulanglah kepada SPR untuk menentukan tarikh pilihan raya yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari bermula hari ini.

"Pilihan raya hanya boleh ditentukan oleh pihak SPR dan saya selaku Speaker DUN hanya memaklumkan bahawa DUN kita telah pun tamat tempoh lima tahun. Selepas ini dengan sendirinya penubuhan kerajaan sementara dibuat mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan untuk meneruskan pentadbiran kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata sekiranya dalam tempoh 60 hari ini SPR tidak mengadakan pilihan raya maka tempoh tambahan 30 hari lagi boleh diberikan untuk kerajaan sementara dengan perkenan Tuanku Muhriz.

"Jika masih lagi tidak dapat diadakan pilihan raya selepas tempoh tersebut, maka Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan akan mewujudkan kerajaan di negeri ini mengikut pertimbangan baginda," katanya.

Ditanya mengenai pengalamannya sebagai Speaker, Razak yang juga kini bergelar bekas anggota DUN Pertang berkata keadaan dalam dewan kini jauh berbeza berbanding penggal-penggal sebelumnya kerana pembangkang kini sudah menguasai banyak kerusi.

"Sudah tentulah anda boleh gambarkan macam mana sukarnya saya untuk mengendalikan persidangan DUN untuk memastikan DUN dapat berjalan dengan baik mengikut aturan dan peraturan perintah tetap dewan," katanya.

Bagaimanapun katanya secara keseluruhan perjalanan semua 16 sidang DUN sepanjang penggal ke-12 lalu berjalan dengan baik dengan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment