My Add

Sunday 17 March 2013

TPM minta JKKK usaha keras pertahan kerajaan BN

 *MUHYIDDIN Yassin bersalaman dengan ahli-ahli JKKK ketika hadir pada
Majlis Himpunan Mesra Bersama JKKK Parlimen Pagoh di Kompleks Seri
 Pekembar di Muar hari ini. - BERNAMA

MUAR, SABTU, 16 Mac, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya berusaha keras mempertahankan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam senario politik yang jauh lebih mencabar pada masa ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, biarpun JKKK telah bekerja keras semasa pilihan raya umum lepas, namun landskap politik pada masa kini menuntut pengorbanan dan usaha yang lebih.

"Senario kini jauh berbeza sebab rakyat lebih faham dan menuntut apa yang dihajati supaya dipenuhi.

"Malah dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, mereka mahukan kerajaan lebih bertanggungjawab, adil, saksama dan tidak mengamalkan rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Himpunan Mesra Bersama JKKK di sini, hari ini yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat.

Selain itu, Muhyiddin berkata, rakyat kini menuntut lebih banyak pembangunan, kemudahan pendidikan yang lebih tinggi dan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap.

Beliau berkata, rakyat kini lebih bijak dan lebih bermaklumat dan sering membuat perbandingan dan oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menunaikan permintaan mereka supaya terus mendapat sokongan rakyat.

Menurutnya, keadaan parti juga harus diperkukuhkan dan mengelak salah faham antara kepimpinan parti kerana ia akan memberikan gambaran tidak elok kepada rakyat.

"Kalau tidak wujud persefahaman dan perpaduan, rakyat tidak akan percaya.

Kita seru mereka supaya bersatu tetapi dalam masa yang sama pemimpin sendiri tidak bersatu, macam mana rakyat akan percaya," katanya.

Justeru, beliau berharap JKKK bersama-sama bertanggungjawab mempertahankan BN dan dapat memenuhi semua permintaan masyarakat.

Dalam majlis itu, Muhyiddin, juga Ahli Parlimen Pagoh, turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada setiap 62 JKKK kampung dalam Parlimen Pagoh. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment