My Add

Sunday 17 March 2013

Wakil Libya mahukan bantuan Malaysia untuk pulihkan ekonomi

KUALA LUMPUR, AHAD, 17 Mac, 2013: Libya berhasrat memulihkan kembali ekonominya selepas berhadapan dengan perang saudara dua tahun lalu.

Dutanya ke Malaysia, Dr Abubaker Al-Mansouri berkata, negaranya berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai sektor.

"Kerajaan Libya lihat Malaysia sebagai negara "model", bukan sahaja dari segi politik tetapi juga ekonomi, negara yang ia boleh belajar dan mengembangkan ekonominya," kata beliau.

Beliau berkata demikian pada seminar bertemakan "Menjalankan Perniagaan di Algeria dan Libya", anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) baru-baru ini.

Abubaker berkata, beliau ingin melihat lebih banyak lagi syarikat Malaysia melabur di Libya, terutamanya dalam sektor minyak dan gas.

Pada masa ini, terdapat enam syarikat minyak dan gas Malaysia di Libya.

"Jumlah itu tidak mencukupi jika dibandingkan dengan bilangan syarikat minyak dan gas (O&G) dari Itali, AS dan Jerman," kata beliau.
Duta itu berkata yang pelaburan dalam sektor O&G amat signifikan tahun lepas dan beliau berharap lebih banyak syarikat Malaysia merebut peluang melabur dalam sektor itu.

"Inilah peluang untuk anda bagi membantu Libya," kata beliau sambil menambah yang banyak syarikat dari Asia Tenggara seperti Korea Selatan dan China turut tampil untuk melabur di negara itu.

Beliau berkata, yang "Malaysia-Libya Interoperability Initiative" telah ditubuhkan Januari tahun lalu untuk membantu pelbagai sektor seperti teknologi maklumat, kesihatan, pendidikan, pertanian, perindustrian, pelancongan dan latihan serta pentadbiran.

Berhubung aduan warga Malaysia yang Libya agak jauh untuk mereka menjalankan perniagaan di sana dan lebih berminat melabur di negara-negara jiran seperti Vietnam, beliau berkata, "Dalam perniagaan, jarak bukanlah masalahnya".

"Kalau kita mempersoalkan jarak, orang Amerika tidak akan mampu untuk melabur di Asia Tenggara, Korea Selatan dan China pula tidak boleh melabur di Afrika Utara atau Selatan ataupun Amerika Latin," kata beliau.

Abubaker berkata, walaupun tidak ramai yang pergi ke Libya pada masa ini, beliau mahu orang ramai tahu yang "laluan itu kini terbuka untuk perniagaan".

"Kini, Libya telah menjadi sebuah negara yang baharu. Kami membuka pintu kepada perniagaan dari seluruh dunia. Kami mengalu-alukan ahli perniagaan Malaysia untuk turut serta kerana telah ramai pelabur dari beberapa bahagian lain dunia sudah pun berada di Libya," kata beliau.

Libya mempunyai populasi enam juta dan disifatkan sebagai lokasi penting dari segi perdagangan di Eropah, Asia dan Afrika. Negara-negara jirannya termasuk Tunisia, Algeria, Niger, Chad, Sudan, dan Mesir.

Eksport Libya ke Malaysia termasuk minyak dan gas, sementara import pula minyak sawit, getah, elektrik dan elektronik. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment