My Add

Monday 29 July 2013

10,000 pelajar Malaysia dibawa balik jika Mesir meruncing

Oleh ZULHISHAM ISAHAK

MUAR, ISNIN, 29 Julai, 2013: Kelab Putera 1Malaysia akan membawa pulang kira-kira 10,000 pelajar Malaysia di Mesir sekiranya kemelut politik di negara itu kian meruncing sehingga boleh membahayakan keselamatan mereka.

Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya telah bersedia dan hanya menunggu masa yang sesuai membawa pelajar tersebut pulang jika keadaan menjadi semakin tidak terkawal.

"Rakyat dan pelajar kita di Mesir ada berpuluh ribu tetapi mereka yang akan dibawa pulang ini berada di kawasan Kaherah iaitu pelajar kita yang berjumlah kira-kira 10,000. Mereka ini adalah penuntut universiti dan selain tinggal berdekatan Dataran Tahrir.

"Jadi, saya ingin berpesan kepada ibu bapa supaya jangan takut. Jika berlaku apa-apa, kita sudah bersedia untuk bawa pelajar kita balik tanpa mengira fahaman politik. Selagi atas nama rakyat Malaysia, kita akan bawa balik," katanya mengulas langkah yang akan diambil pihaknya jika situasi di negara itu menjejaskan keselamatan pelajar Malaysia.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Tabung Haji berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Zakat Projek Ehsan Tabung Haji peringkat negeri 2013/1434 di Hotel Muar Traders, di sini hari ini.

Kemelut di Mesir bertambah buruk dan terbaharu dua lagi penyokong Presiden digulingkan, Mohammed Mursi, terkorban dalam dua pertempuran di Port Said dan Kafr el-Zayat selain turut menyaksikan 28 yang lain cedera dengan dua daripadanya kritikal.

Abdul Azeez berkata, pihaknya mempunyai pengalaman sebelum ini dalam membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir semasa konflik pertama dahulu.

Beliau turut menasihatkan pelajar Malaysia di Mesir supaya tidak turut serta atau mencampuri urusan negara tersebut kerana konflik dalaman berkenaan tidak ada kena mengena dengan mereka.

"Kita minta pelajar kita berhati-hati. Kita jalankan tugas kita sebagai pelajar, cukup masa balik ke rumah. Jangan campur urusan yang sedang berlaku. Jangan cari bala. Itu masalah rakyat mereka yang berbalah dengan tentera," katanya.

Mengenai kuota haji yang dipotong 20 peratus kerana terbatasnya ruang ibadah di Tanah Suci berikutan projek mega perluasan Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah, beliau berkata, kerajaan sedang membuat rayuan.

Bagaimanapun, kerajaan akan akur dengan keputusan kerajaan Arab Saudi itu yang akan membabitkan pengurangan seramai 5,600 daripada keseluruhan 28,000 jemaah haji setahun.

Beliau juga menasihatkan rakyat Malaysia yang mempunyai penyakit kronik, antaranya asma, darah tinggi, kencing manis dan penyakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis supaya menangguhkan dahulu hasrat menunaikan ibadah haji. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment