My Add

Monday 29 July 2013

Suri rumah didakwa lagi berhubung projek Muzium PDRM

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Julai, 2013: Seorang suri rumah sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini terhadap enam pertuduhan menipu lima individu berhubung projek pembekalan peralatan Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM), membabitkan hampir RM3.5 juta.

Suriani Ahmad, 48, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Pada 21 Februari lepas, Suriani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 17 pertuduhan menipu enam kontraktor berhubung projek sama membabitkan RM1.5 juta.

Hari ini, wanita itu didakwa lagi atas enam pertuduhan menipu Junaidah Nasir, 49, Azlan Shuib, 47, Abdul Hamid Man, 64, Mohd Rozi Hamid@Pa, 48, dan Abdul Bostani Abdul Rahman, 52.

Bagi pertuduhan pertama hingga kelima, Suriani didakwa menipu Junaidah, Azlan, Abdul Hamid dan Abdul Bostani dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai dia boleh mendapatkan projek pembekalan peralatan Muzium PDRM bagi lima syarikat pembekalan peralatan itu.

Tindakan tertuduh itu mendorong kesemua mangsa yang antaranya merupakan pengurus syarikat, kontraktor dan penjawat awam menyerahkan lebih RM3 juta kepadanya, yang mana mereka tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan.

Bagi pertuduhan keenam pula, Suriani didakwa menipu Mohd Rozi dengan mendorong lelaki itu menyerahkan RM216,470 bagi projek sama, yang mana Mohd Rozi tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan.

Kesemua pertuduhan itu didakwa dilakukan di Muzium PDRM, No 5, Jalan Perdana antara Oktober 2010 dan Mac 2011, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebat serta boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan itu.

Peguam S. Subramaniam memohon jaminan yang sama iaitu RM20,000 seperti kes anak guamnya sebelum ini dan memberi jaminan tertuduh akan sentiasa hadir di mahkamah pada tarikh akan datang.

Hakim Mat Ghani membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan berkata: "Oleh kerana sekarang ini bulan puasa dan dekat nak raya, saya simpati. Saya benarkan permohonan jaminan itu".

Mahkamah menetapkan 22 Ogos ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment