My Add

Tuesday 2 July 2013

16 orang maut dalam kekacauan terbaharu di Mesir


 *ASAP hitam menyelubungi ibu pejabat pergerakan Ikhwanul Muslimin di Kaherah selepas diserbu dan dibakar sekumpulan penunjuk perasaan semalam.
KAHERAH, ISNIN, 01 Julai, 2013: Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dalam protes di seluruh Mesir kelmarin termasuk lapan orang yang mati dalam pertempuran antara kumpulan penentang dan penyokong Presiden Mohammed Morsi di sini, kata kementerian kesihatan semalam.
Tiga orang lagi meninggal dunia di tengah wilayah Assiut dan masing-masing seorang di wilayah Fayoum, Beni Sueif dan Kafr el-Sheikh.

Seorang penunjuk perasaan pula dilaporkan mati akibat sesak nafas semasa menyertai perhimpunan di luar istana presiden di sini manakala seorang lagi mangsa maut akibat kecederaan di Iskandariah.

Tunjuk perasaan kelmarin disertai berjuta-juta rakyat Mesir yang marahkan Morsi serta pertubuhan persaudaraan Islam, Ikhwanul Muslimin yang membantunya berkuasa.

Presiden tersebut didakwa cuba mendominasi kuasa dan meluaskan pengaruh Ikhwanul Muslimin dalam pentadbiran Mesir.

Sementara itu empat menteri masing-masing bagi portfolio Pelancongan, Alam Sekitar, Komunikasi dan Hal Ehwal Perundangan Mesir bertindak meletak jawatan semalam.

Perkembangan itu berlaku sehari selepas protes besar-besaran terhadap Morsi.

Keempat-empat menteri berkenaan menyerahkan surat peletakan jawatan mereka secara bersama kepada Perdana Menteri, Hisham Qandil.

Sementara itu, pihak pembangkang Mesir memberi tempoh sehingga hari ini untuk Morsi meletak jawatan atau berdepan dengan kebangkitan rakyat.

"Kami beri tempoh kepada Morsi hingga pukul 5 petang (waktu tempatan) pada Selasa (hari ini) untuk berundur bagi membolehkan institusi kerajaan membuat persediaan untuk pilihan raya presiden," kata sebuah kumpulan pembangkang, Tamarod dalam satu kenyataan di laman webnya. - Agensi//KOSMO1

No comments:

Post a Comment