My Add

Tuesday 2 July 2013

MAMPU jangka dapat kurangkan 20% kos belanja kerajaan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 01 Julai, 2013: Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) menjangka dapat mengurangkan kos perbelanjaan kerajaan sebanyak 20 peratus berikutan mandat yang diberi sebagai peneraju bagi Projek Permulaan Dua-Satu (EPP2-1) Perkhidmatan Gunasama Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kerajaan.

Ia adalah di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Perkhidmatan Perniagaan yang bertanggung jawab melaksanakan Projek Permulaan (EPP) bagi komponen perkhidmatan ICT yang dikongsi kerajaan.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, MAMPU, berkata Perkhidmatan Gunasama ICT kerajaan yang dilaksanakannya ialah seperti Perkhidmatan Rangkaian ICT Sektor Awam, Rangkaian Kampus Putrajaya (PCN), Pusat Satu panggilan 1Malaysia (1MOCC), Pusat Satu Latihan 1Malaysia (1MTC), Infrastruktur Utama Awam dan Pusat Data Sektor Awam (PDSA).

Ia adalah antara inisiatif berskala besar dan berimpak tinggi yang merentasi agensi Sektor Awam di bawah Strategi Lautan Biru Negara dan Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10).

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Persidangan Perkhidmatan Gunasama ICT Kerajaan dan Majlis Penutup Bulan Keselamatan ICT di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun, anjuran MAMPU, di sini, hari ini.

MAMPU berkata, pelaksanaan inisiatif Perkhidmatan Gunasama ICT Kerajaan perlu merangkumi aspek keselamatan ICT bagi menjamin kesinambungan urusan Kerajaan dalam keadaan yang bebas dari ancaman dan risiko yang tidak boleh diterima dengan meminimumkan kesan insiden.

Katanya, kertas kerja mengenai perkongsian maklumat yang berkaitan Perkhidmatan Gunasama ICT Kerajaan dan Keselamatan ICT juga dibentangkan pada persidangan berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment