My Add

Tuesday 2 July 2013

Kebudak-budakan pertikai Ramanan

        R. Ramanan, Tunku Abdul Aziz
KUALA LUMPUR, ISNIN, 01 Julai, 2013: Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim tampil mempertahankan pelantikan aktivis MIC, Datuk R. Ramanan sebagai pegawai Khas kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang seharusnya tidak dipolitikkan sebaliknya dihargai.

Menurutnya, pelantikan itu tidak seharusnya menimbulkan kritikan mana-mana pihak malah perlu dihargai khususnya oleh MIC kerana telah diberi kepercayaan untuk membantu masyarakat India di Wilayah Persekutuan yang masih terbeban dengan pelbagai isu.

Beliau menarik perhatian bagaimana hasil usaha Ramanan beberapa hari lalu membantu menteri itu, telah membolehkan sebuah kuil di belakang bangunan Weld di Jalan Raja Chulan di sini terus digunakan untuk aktiviti keagamaan masyarakat India.

“Sebelum ini terdengar cakap-cakap kemungkinan kuil yang dikenali sebagai Sri Muneswaran itu mahu dirobohkan, tetapi hasil komitmen Menteri Wilayah Persekutuan yang dibantu oleh Ramanan dengan kerjasama pihak berkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kuil itu telah dicantikkan lagi.

“Secara peribadi, saya mengenali Datuk Ramanan. Beliau merupakan antara yang paling berani dan vokal dalam memperjuangkan nasib kumpulan India yang tidak terbela dalam DAP. Ramanan antara yang lantang mempersoalkan ketidakadilan dalam parti itu. Tidak semua berani sepertinya.

“Sangat menyedihkan andainya pemimpin-pemimpin dalam MIC sendiri yang mengkritik dan mempersoalkan pelantikan ini. Saya anggap komen ini kebudak-budakan. Selama ini, jarang sekali peluang seperti ini diberikan, seharusnya mereka gembira malah mengalu-alukan pelantikan ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tunku Aziz mengulas laporan berita portal berbahasa Inggeris Sabtu lepas yang menyiarkan kritikan tidak puas hati sebilangan pemimpin MIC terhadap pelantikan Ramanan sebagai pegawai khas Tengku Adnan yang berkuatkuasa sejak 1 Jun lepas.

Antara kandungan berita itu yang hanya menyebut beberapa pemimpin MIC yang enggan dikenali berkata, Tengku Adnan seharusnya berbincang terlebih dahulu dengan kepimpinan tertinggi MIC sebelum membuat keputusan itu.

Turut dilaporkan dalam berita berkenaan adalah suara ‘kepimpinan tertinggi MIC’ yang dikatakan tidak berpuas hati dengan pelantikan itu malah mempunyai beberapa calon lain yang dirasakan sesuai walaupun jawatan itu bukan dalam kuota MIC. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment