My Add

Tuesday 2 July 2013

2 penjenayah cedera ditembak

Oleh radhuan hussain
 
 * HAMZH Mohd. Jamil (tengah) dan K. Manoharan (kanan) serta Mohd. Adli Mat Daud menunjukkan peralatan melakukan samun yang dirampas daripada tiga penjenayah pada sidang akhbar di Kuala Terengganu, semalam. - Utusan/Shaifudin Mohd Nor
KUALA TERENGGANU, ISNIN, 01 Julai, 2013: Dua penjenayah cedera ditembak selepas kedua-duanya dan seorang lagi suspek cuba melanggar anggota polis dengan kereta ketika hendak meloloskan diri daripada kepungan di Kampung Sungai Serai, Marang awal pagi kelmarin.

Dua penjenayah terbabit berumur 48 dan 36 tahun itu yang masing-masing cedera ditembak di pinggang kanan dan lutut serta seorang lagi rakan mereka berusia 30 tahun berjaya diberkas.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Mohd. Jamil berkata, dua lelaki yang cedera itu kini masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Beliau memberitahu, kesemua tiga lelaki tempatan itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga 5 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Mengulas lanjut insiden itu, katanya, kejadian bermula apabila sepasukan empat anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri mengesan sebuah kereta jenis Proton Waja yang dinaiki tiga lelaki terbabit di Kampung Sungai Serai kira-kira pukul 4.45 pagi.

Menurutnya, ketika diekori, kenderaan terbabit dipandu perlahan dan dalam keadaan mencurigakan, dipercayai sedang meninjau untuk melakukan jenayah sebelum diarahkan anggota polis supaya berhenti.

"Pemandu kereta terbabit bagaimanapun tidak menghiraukan arahan itu lalu memecut kenderaan dan cuba melanggar anggota polis.

"Tindakan agresif penjenayah itu memaksa polis melepaskan beberapa das tembakan sebelum mengejar kereta itu yang cuba melarikan diri ke arah Kampung Durian Guling," katanya kepada pemberita di IPK negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, Asisten Supritendan Mohd. Adli Mat Daud.

Hamzah berkata, setelah dikejar sejauh kira-kira tiga kilometer, kesemua penjenayah itu berjaya diberkas di Kampung Durian Guling, Marang, dan hasil pemeriksaan mendapati dua daripadanya cedera di pinggang kanan dan lutut akibat terkena tembakan.

"Hasil pemeriksaan, polis menemukan beberapa peralatan samun di dalam kenderaan berkenaan antaranya parang, sabit, pemotong besi, golok dan cangkul kecil," katanya.

Menurut beliau, kesemua penjenayah itu yang terbabit dalam beberapa kes samun di negeri ini memiliki beberapa rekod jenayah lampau termasuk berkaitan penyalahgunaan dadah, menyamun dan mencuri. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment