My Add

Tuesday 2 July 2013

Dua lelaki ditemui mati dibunuh

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
 
 * ANGGOTA polis mengangkat dua mayat yang dijumpai di Desa Seri Ampang, Ipoh, semalam.
IPOH, ISNIN, 01 Julai, 2013: Mayat dua lelaki yang dipercayai dibunuh ditemui dalam keadaan terlentang di dalam semak di Desa Seri Ampang, berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan, Lebuh Raya Utara-Selatan di sini hari ini.

Polis menemukan mayat S. Kaviventhen, 28, dan S. Chandrasekhar, 26, kira-kira pukul 8.30 pagi dengan terdapat kesan tikaman serta luka di seluruh badan kedua-dua mangsa selain dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Salah satu daripada mayat berkenaan ditemui dalam keadaan berulat.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Supritendan Ahmad Termizi Abd. Haq berkata, hasil siasatan awal polis mendapati kedua-dua mayat yang tidak berbaju dan hanya berseluar panjang itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dibuang di lokasi kejadian.

"Polis mengesyaki kejadian itu ada kaitan dengan soal dendam berikutan salah seorang mangsa mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes kecurian motosikal.

"Kita turut menemukan sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC di tempat kejadian yang didaftarkan atas nama seorang individu dari Taman Razaki di sini, namun tiada sebarang senjata dikesan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Termizi berkata, kedua-dua mayat berkenaan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

"Setakat ini, pihaknya masih belum menerima laporan forensik lengkap untuk mengesahkan punca sebenar kematian," katanya sambil memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment