My Add

Tuesday 2 July 2013

Barang kes ada kesan air mani

 Riduan Masmud
KOTA KINABALU, ISNIN, 01 Julai, 2013: Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini diberitahu, terdapat kesan tompokan air mani pada beberapa barang kes dalam perbicaraan melibatkan seorang pengurus restoran yang dituduh merogol seorang kanak-kanak berumur 12 tahun sebelum mengahwini mangsa.

Pegawai Jabatan Kimia Malaysia, Kota Kinabalu, Biling anak Peter Raig berkata, kesan air mani itu ditemui pada tiga barang kes iaitu satu pelapik tempat duduk kereta dan dua helai sapu tangan.

Saksi kedua pihak pendakwaan itu menyatakan, laporan awal dan kesemua eksibit berkenaan bagaimanapun dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia, Kuching di Sarawak untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

"Kedudukan kawasan yang positif kesan air mani pada pelapik tempat duduk ialah di sebelah penjuru kanan bawah manakala eksibit kedua iaitu sapu tangan yang menunjukkan positif kepada ujian mengesan air mani terletak di bahagian sebelah atas, tengah dan kiri sapu tangan.

"Eksibit ketiga yang juga merupakan sapu tangan dikesan kedudukan air mani positif tertumpu di bahagian tengah sapu tangan berkenaan," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin yang dibantu Effizah Ernie Idris.

Tertuduh Riduan Masmud, 40, diwakili oleh peguam Loretto J. Padua manakala Datuk Mariati Robert hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak Persatuan Undang-Undang Sabah.

Pada 28 Februari lalu, Riduan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan merogol kanak-kanak itu di dalam sebuah kereta yang terletak di tepi jalan di Inanam dekat sini pada pukul 10 pagi, 18 Februari lalu.

Kes tersebut mendapat perhatian ramai apabila mahkamah pada 20 Mei lalu dimaklumkan Riduan sudah berkahwin dengan mangsa mengikut undang-undang syariah, malah salinan sijil nikah turut diserahkan kepada mahkamah.

Dalam prosiding yang bermula hari ini di hadapan Hakim Ummu Khaltom Abdul Samad sebanyak 19 barangan kes dan satu bungkusan dikemukakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan yang dijadualkan berlangsung sehingga Khamis ini.

Menurut Biling, sebagai ahli kimia dia telah menjalankan dua analisis awal mengikut prosedur betul yang diiktiraf badan antarabangsa.

Katanya, analisis pertama untuk mengesan sama ada barang kes mengandungi darah atau tidak manakala analisis kedua bagi mengesan kehadiran kesan air mani pada semua eksibit.

Jelasnya selain ujian fizikal untuk analisis pertama beliau telah menggunakan kaedah ujian Kastla Mayor (KM) bagi mengesan kehadiran darah dan ujian Acid Phospatase (AP) untuk mencari kesan air mani.

Katanya, ujian yang dilakukan menunjukkan terdapat kesan air mani tetapi tiada kesan darah.

Sementara itu, saksi pertama, Koperal Edward Darwin mengesahkan menerima aduan mengenai kes itu pada 18 Februari lalu di Balai Polis Inanam.

Ujarnya, selain dua penama dalam laporan berkenaan yang hadir dia juga dimaklumkan oleh salah seorang penama bahawa bapa mangsa turut hadir semasa laporan itu dibuat.

Perbicaraan bersambung esok. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment