My Add

Monday 29 July 2013

3 ditahan, 4 pucuk pistol termasuk tiga tiruan dirampas

Oleh ZAMZURINA AHMAD

KUANTAN, ISNIN, 29 Julai, 2013: Polis merampas sepucuk pistol jenis revolver .38 Smith & Wesson beserta lima butir peluru dan tiga pucuk pistol tiruan selepas menahan tiga lelaki di sebuah gerai makan Cang Shen Kok, Sri Jaya dekat Maran di sini kelmarin.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, pistol berkenaan ditemui dalam sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna kelabu dipandu salah seorang suspek.

Katanya, suspek tersebut sebelum itu cuba bertindak agresif sebaik sahaja sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri memperkenalkan diri ketika melakukan rondaan di sebuah kedai makan.

"Ketika kejadian pukul 12.45 tengah malam itu, suspek berada di sebuah meja makan bersama dua orang rakannya Dia bagaimanapun tiba-tiba bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan sebelum suspek mencampak satu gugus kunci dari genggaman tangannya.

"Anggota itu namun dapat menahannya dan hasil pemeriksaan kereta miliknya, polis menemukan sepucuk pistol revolver .38 Smith & Wesson yang dibalut dengan tuala kecil berwarna putih dalam beg plastik oren beserta empat butir peluru di dalamnya.

"Selain itu, kita juga menjumpai satu butir peluru jenis sama di atas tempat duduk penumpang hadapan dan wang tunai berjumlah RM2,000," katanya di IPK di sini hari ini.

Menurut Sharifuddin, berikutan penangkapan ketiga-tiga suspek berusia 36 hingga 51 tahun itu, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas rumah suspek di atas bukit Kampung Sri Jaya, Maran dekat sini, dan menemukan tiga pucuk pistol tiruan berwarna hitam.

"Semua pistol tiruan berkenaan dijumpai di celah katil tepi dinding bilik utama rumah berkenaan," jelasnya.

Beliau memberitahu, hanya suspek pertama mempunyai enam rekod jenayah lampau manakala seorang lagi berusia 36 tahun berada dalam senarai dikehendaki berhubung kes dadah.

"Polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan.

"Ketiga-tiga suspek direman sehingga 3 Ogos ini dan ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran bagi siasatan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment