My Add

Monday 29 July 2013

Rang undang-undang lindungi biodiversiti ke Parlimen

SEPANG, ISNIN, 29 Julai, 2013: Rang Undang-Undang Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah bagi melindungi khazanah biodiversiti negara dijangka dibentang di Parlimen tahun depan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel berkata, draf akhir rang undang-undang itu sedang dipinda dengan mengambil kira pandangan kerajaan negeri, kementerian, agensi dan pelbagai pihak berkepentingan.

"Draf ini akan disampaikan kepada Jabatan Peguam Negara pada September ini dan kemudiannya ke Kabinet selepas itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat draf akhir rang undang-undang itu, di sini hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Palanivel berkata, Malaysia merupakan negara yang kaya dengan sumber biologi dan diiktiraf sebagai satu daripada 12 negara mega biodiversiti di dunia.

Menurutnya, sumber yang terdapat di negara ini berpotensi untuk penghasilan produk baharu dalam industri farmaseutikal dan nutraseutikal seperti ubat-ubatan, makanan tambahan dan produk kosmetik.

Sehubungan itu, sudah tiba masanya negara mempunyai satu undang-undang kebangsaan untuk mengawal selia aktiviti kajian dan penyelidikan serta 'bioprospecting' yang dijalankan terhadap sumber biologi negara, kata Palanivel.

Menurutnya ketiadaan undang-undang itu menyukarkan negara menangani kes-kes kecurian sumber biologi atau ’biopiracy’ yang berlaku, iaitu sumber biologi diambil tanpa kebenaran dan dibangunkan tanpa perkongsian faedah untuk tujuan komersil.

"Rang undang-undang ini juga akan merealisasikan agenda negara untuk menggunakan biodiversiti dalam menjana kekayaan baharu seperti dinyatakan dalam Model Baru Ekonomi 2010 dan Dasar Bioteknologi Negara 2005," katanya.

Undang-undang ini juga mempunyai peruntukan yang mengenal pasti peranan masyarakat Orang Asli dan tempatan berkenaan sumber asli dan pengetahuan tradisi, kata beliau.

Selain mengawal selia aktiviti akses kepada sumber biologi, Palanivel berkata usaha negara mewujudkan undang-undang itu adalah selari dengan objektif Konvensyen Kepelbagaian Biologi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mengiktiraf sumber biologi sebagai hak mutlak sesebuah negara. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment