My Add

Tuesday 30 July 2013

Agresif guna laman sosial tonjol fahaman, aktiviti

 * SEBAHAGIAN daripada pengikut Syiah yang ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor di markas Syiah di Gombak pada tahun 2010.
KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Julai, 2013: Selain berusaha mendapat pengiktirafan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan mengetengahkan isu hak asasi manusia, pengikut fahaman Syiah negara ini juga dikesan semakin agresif untuk menonjol dalam masyarakat.

Mereka bukan sahaja berani mengaku sebagai ahli Syiah malah turut memperkembangkan aktiviti dan fahaman di laman-laman sosial serta mempersoalkan tindakan kerajaan mengharamkan aktiviti Syiah.

Ini dibuktikan dalam beberapa kejadian apabila pengikut Syiah begitu berani mencabar ulama atau ustaz yang mempersoalkan fahaman Syiah dalam majlis keagamaan.

Satu kejadian berlaku di sebuah surau di Sungai Petani, Kedah apabila seorang bekas peguam yang juga pengikut Syiah dikatakan mencabar mana-mana ustaz untuk melakukan debat bagi membuktikan kebenaran Syiah.

Perkara itu berlaku setelah seorang tenaga pengajar dari Pondok Pak Teh, Grik, Perak, Ustaz Ahmad Rozaini Abd. Rahman membangkitkan isu mengenai Syiah.

Pada 15 Jun 2012 pula, program ceramah di Majlis Daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang yang dihadiri pakar kaji Syiah, Ustaz Mohd. Nasim Abdul Rauf telah diserang oleh pengikut Syiah hingga menimbulkan huru-hara.

Selain itu, kebelakangan ini juga, mereka dilihat berani mengadakan aktiviti secara terbuka seperti yang berlaku di markas Syiah di Gombak, Selangor pada 15 Mei 2012 apabila Sambutan Kelahiran (Wiladah) Sayyidah Fatimah Az-Zahra diadakan.

Malah, pada Jun lalu, satu program yang dikenali sebagai Ekspo Perdagangan Dunia Islam dan Konvensional Halal Berasaskan Dinar dan Dirham di Kota Bharu, Kelantan turut disertai wakil kerajaan Iran yang dengan berani mempamerkan bahan terbitan berunsur Syiah.

Ekspo itu telah mengejutkan banyak pihak termasuk Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pengikut fahaman Syiah ini juga dikesan cuba menggunakan undang-undang bagi menyatakan bantahan terhadap penguatkuasaan yang dilakukan kepada mereka.

Mereka membuat lapan laporan polis terhadap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menahan 125 aktivis Syiah ketika sambutan Hari Assyura di Gombak pada 2010.

Pada Julai 2011, mereka juga membuat laporan polis membantah penganjuran Seminar Pemurnian Akidah anjuran Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Yayasan Ta'lim.

yang diadakan di Dewan Muktamar Pusat Islam di Jalan Perdana.

Laporan itu dibuat bagi mempertikai kehadiran dua penceramah luar negara serta mendesak polis bertindak menghalang penganjuran majlis itu. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment