My Add

Monday 29 July 2013

Ali Rustam yakin kemampuan Idris, Ahmad

MELAKA, ISNIN, 29 Julai, 2013: Pelantikan Ketua Menteri, Datuk Idris Haron sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang baharu dan timbalannya yang juga Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah disifatkan sebagai pilihan yang tepat untuk memastikan UMNO akan terus kukuh.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, beliau yakin kedua-dua gandingan itu mampu memastikan parti terus memerintah Melaka di samping merampas kembali dua kerusi milik UMNO iaitu Parlimen Bukit Katil dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Baru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurutnya, gandingan kedua-dua tokoh muda dan baharu mampu mencambah idea bukan setakat untuk merampas kembali Parlimen Bukit Katil dan DUN Bukit Baru malah untuk memenangi semula lima DUN dikuasai pembangkang di Kota Laksamana, Kesidang, Bachang, Ayer Keroh dan Duyong.

"Saya yakin semua pemimpin UMNO di peringkat cawangan dan bahagian akan memberi sokongan padu kepada Idris dan Ahmad Hamzah untuk mengemudi parti.

"Setakat ini saya tidak mendengar suara rasa tidak puas hati ahli UMNO dari akar umbi terhadap pelantikan ini dan ini memberi petanda UMNO akan terus kukuh.

"Saya bersedia untuk membantu Idris dan Ahmad bagi memastikan UMNO terus relevan dan kukuh di samping membuat persiapan awal menghadapi PRU-14," katanya ketika ditemui di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment