My Add

Monday 1 July 2013

Dua lelaki ditahan, lima pucuk pistol dirampas

 JOHOR BAHRU, ISNIN, 01 Julai, 2013: Polis negeri ini yakin dapat menyelesaikan 21 kes samun bersenjata api di sekitar bandar raya ini selepas menahan dua lelaki dan merampas lima pucuk pistol dan 81 butir peluru dalam dua serbuan berasingan baru-baru ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, dalam serbuan pertama pada 21 Jun lalu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 28 tahun di Taman Pelangi, di sini pukul 11.15 malam dan merampas satu peket plastik dipercayai dadah jenis syabu.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kereta yang dinaiki suspek menemui dua pucuk pistol semi automatik, satu kotak berisi 39 butir peluru .45mm, satu kotak berisi 27 butir peluru .9mm, tujuh butir peluru Revolver, sepasang gari dan wang tunai RM38,850.

"Ujian air kencing suspek turut didapati positif dadah dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, suspek kedua berusia 31 tahun ditahan di Bandar Dato' Onn, di sini pukul 6.40 petang pada 23 Jun lalu dan polis menemui dua pucuk pistol semi automatik, sepucuk Revolver, dua butir peluru .22mm, 13 butir peluru .9mm dan dua peket plastik mengandungi dadah.

"Suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan ujian air kencing turut mendapati positi dadah. Polis kini masih menyiasat sama ada kedua-dua suspek mempunyai kaitan antara satu sama lain," katanya. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment