My Add

Thursday 4 July 2013

Empat beranak tinggal sehelai sepinggang

KOTA BHARU, RABU, 03 Julai, 2013: Seorang peniaga kerugian kira-kira RM400,000 apabila rumahnya yang juga bekas bengkel membaiki kenderaan di Kampung Kenali, Kubang Kerian dekat sini musnah dalam kebakaran semalam.

Kebakaran yang berlaku pukul 7 malam itu mengakibatkan peniaga terbabit bersama isteri dan dua anaknya berusia 5 dan 7 tahun tinggal sehelai sepinggang.

Turut musnah dalam kejadian itu adalah dua buah kenderaan, manakala sebuah lagi berjaya diselamatkan oleh bomba.

Menurut peniaga terbabit, Mohamad Ismazani Ismail, 29, ketika kejadian dia bersama isteri, Sharifah Rosmiza Syed Ghawi, 29, sedang berniaga makanan kering di pasar malam dekat Kedai Lalat.

"Saya dimaklumkan tentang kebakaran setelah dihubungi seorang jiran," katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu ketika ditemui malam tadi.

Sharifah Rosmiza pula memberitahu, dia sekeluarga menyewa rumah itu yang pernah dijadikan sebagai bengkel dengan kadar RM500 sebulan sejak lebih 10 tahun lalu.

Dia mendakwa, kebakaran mungkin berpunca daripada litar pintas kerana ada orang memaklumkan ternampak wayar elektrik lama mengeluarkan arus lalu mengenai bahagian dapur rumah papan itu. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment