My Add

Monday 29 July 2013

Forum antarabangsa atasi jerebu - Shahidan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Julai, 2013: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim menyarankan forum antarabangsa diadakan dari semasa ke semasa bagi mencari penyelesaian jangka panjang paling efektif dalam usaha mengatasi masalah jerebu di rantau ini.

Beliau berkata, forum serantau ini perlu diadakan oleh negara anggota Asean yang antara lain meliputi perbincangan untuk mengawal serta mengadakan pemeriksaan secara berkala di semua titik panas.

Perbincangan itu, katanya, juga perlu diadakan di tempat kejadian supaya rakyat memahami perbuatan pembakaran terbuka akan membawa kepada kesusahan orang ramai dan kerugian negara.

"Kemungkinan orang yang menyebabkan jerebu selamat kerana angin tiup ke arah Malaysia. Mereka selamat tetapi orang Malaysia tidak selamat. Saya percaya kesedaran masyarakat perlu diberikan melalui forum ini," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Boon Som Inong pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Boon ingin tahu sama ada Asean perlu mengambil tindakan tegas dan berusaha mengurangkan jerebu di negara-negara anggotanya.

Bulan lepas, Malaysia dan Singapura dilanda jerebu teruk berikutan pembakaran hutan di Sumatera dan Riau di Indonesia. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment