My Add

Monday 29 July 2013

Kementerian Pendidikan lahir modal insan patriotik

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Julai, 2013: Kementerian Pendidikan akan terus berusaha menambah baik sistem pendidikan negara dalam melahirkan modal insan berkualiti berlandaskan kaedah pendidikan yang bebas daripada pengaruh politik.

Timbalan Menteri Pendidikan, Mary Yap Kain Ching memberitahu, dasar pendidikan yang digubal mengambil kira kepentingan pendidikan semua rakyat di negara ini tanpa melihat latar belakang politik, agama dan bangsa.

"Kementerian tidak pernah berhasrat atau merancang untuk melahirkan modal insan yang dipengaruhi politik malah sentiasa berusaha dari semasa ke semasa supaya sistem pendidikan bebas pengaruh politik.

"Kita amat komited untuk melahirkan modal insan berjiwa patriotik," katanya menjawab soalan Senator Ahamat @ Ahamad Yusop pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Kain Ching berkata, antara pendekatan yang diambil ialah merangka kurikulum subjek sejarah dalam silibus sekolah menengah sebagai sebahagian daripada usaha memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Kain Ching berkata, ini selari dengan keputusan kerajaan menjadikan sejarah subjek wajib lulus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun depan.

Menjawab soalan tambahan Ahamat sama ada kementerian bercadang melihat semula dasar sekolah satu aliran, Kain Ching berkata, kementerian sentiasa menjalankan penambahbaikan sistem pendidikan berdasarkan pelan tindakan pendidikan yang telah dirangka.

Katanya, kerajaan juga sentiasa bersikap terbuka terhadap pandangan umum dan ini dapat dilihat dalam penggubalan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

"Setiap pendekatan yang akan dijalankan akan berlandaskan satu model yang akan dijadikan rujukan selain mengambil kira input dan pandangan orang ramai serta pihak berkepentingan," jelasnya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment