My Add

Tuesday 30 July 2013

Gagal temui daratan akibat jerebu tebal - Pemancing

TANJUNG KARANG, ISNIN, 29 Julai, 2013: Empat pemancing menceritakan bagaimana mereka hilang arah untuk mencari daratan ekoran jerebu tebal dan pada masa yang sama bot mereka kehabisan minyak, sehingga menyebabkan mereka hanyut serta dipukul ombak selama tiga hari di laut.

Mereka iaitu Mohd Sufian Mohd Mokhtar, 27, Mohammad Fazli Jusup, 28, Mohd Shahrul Nizam Zulkifli, 26, dan Shahri Anuar Abd Wahid, 28, dari Kampung Delek, Klang sebelum ini dilapor hilang selepas keluar memancing di Kelanang pada Jumaat lepas.

Mereka bagaimanapun selamat tiba di jeti nelayan Bagan Sungai Tengkorak di sini malam tadi.

Menceritakan kejadian itu, Mohd Sufian yang juga bertindak sebagai juragan bot berkenaan berkata, pada mulanya mereka keluar memancing pada 8.30 pagi Jumaat lepas dan tiba di perairan Klanang tiga jam kemudian.

Ketika mahu pulang kira-kira 2.30 petang melalui Pelabuhan Barat, mereka diselubungi jerebu sehingga menyukarkan jarak penglihatan mereka.

"Walaupun kami cuba menuju ke arah matahari terbenam bagi mencari daratan, tetapi kami gagal melakukannya kerana keadaan jerebu yang tebal," katanya ketika ditemui sebaik tiba di daratan.

Beliau berkata pada masa sama, bot mereka juga kehabisan minyak sehingga mereka dihanyutkan ke bahagian belakang Pulau Ketam, Klang berhampiran Rumah Api Moutanban.
"Dari tengah malam hingga kira-kira 6 pagi (Sabtu), kami dipukul ombak setinggi lima meter akibat tiupan angin barat laut.

"Kami tidak mempunyai pilihan selain terpaksa memotong tali sauh bot kami, kerana jika tidak, bot kami akan pecah dipukul ombak dan membahayakan kami," katanya.

Bagaimanapun bot mereka terselamat tetapi dihanyutkan arus sehingga melepasi lima batu nautika ke dalam perairan Indonesia.

Mohd Sufian berkata, mereka bernasib baik kerana kira-kira 6.30 petang Sabtu, sebuah bot pukat tarik dari Sabak Bernam yang melalui kawasan itu terdengar bunyi wisel dan melihat lampu kecemasan yang mereka aktifkan dari bot mereka.

Bot pukat tarik itu menarik bot mereka memasuki semula kawasan Malaysia dan memberi bantuan kepada mereka untuk berlabuh berdekatan rumah api itu sehingga mereka diselamatkan beberapa pihak lain. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment